Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:34pm
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengumumkan pakej terbaru bantuan senjata kepada Ukraine. - Foto EPA
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengumumkan pakej terbaru bantuan senjata kepada Ukraine. - Foto EPA

Biden umum bantuan ketenteraan AS1 bilion kepada Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan pakej baru senjata dan peluru untuk Ukraine kelmarin selepas bercakap dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Beliau turut mengesahkan sokongan berterusan Washington kepada Kyiv dalam memerangi pencerobohan Russia.

Pakej senjata bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) itu termasuk lebih banyak artileri, sistem pertahanan antikapal pantai dan peluru untuk artileri serta sistem roket canggih yang sudah digunakan oleh Ukraine.

Biden juga mengumumkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$225 juta (RM990 juta) kepada Ukraine.

Dana itu akan digunakan untuk membekalkan makanan, air minuman, bekalan perubatan dan barangan kritikal lain.

"Keberanian, ketabahan, dan keazaman rakyat Ukraine terus memberi inspirasi kepada dunia," kata Biden.

Pentagon memperincikan bekalan baru itu termasuk 18 howitzer 155mm bersama 36,000 butir peluru, dua sistem peluru berpandu darat antikapal Harpoon, dan roket tambahan untuk empat sistem roket ketepatan Himars yang akan diterima Ukraine dalam masa terdekat.

Dengan jarak sehingga sekitar 80 kilometer (km), roket Himars berpotensi memberikan Ukraine keupayaan lebih besar untuk menyerang sasaran Russia dengan lebih tepat dalam pertempuran artileri yang berterusan di sepanjang barisan hadapan.

Pegawai AS berkata, kumpulan pertama tentera Ukraine menamatkan latihan penggunaan Himars kelmarin.

Turut termasuk dalam pakej baru itu ialah ribuan radio dan peranti penglihatan malam serta sistem penglihatan berasaskan haba (thermal), kata Pentagon.

Pakej bantuan senjata baru itu menyaksikan sehingga kini AS menyumbang AS$5.6 bilion (RM24.7 bilion) dalam bentuk senjata kepada Ukraine sejak Russia menyerangnya pada 24 Februari lalu. - AGENSI

Berita Harian X