Khamis, 16 Jun 2022 | 7:24am
 Foto fail AFP
Foto fail AFP

Panel AS syor vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak bawah lima tahun

WASHINGTON: Panel pakar yang bersidang untuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun, kumpulan umur terakhir yang menunggu untuk program imunisasi di kebanyakan negara.

Kebenaran secara rasmi akan menyusul tidak lama lagi dengan suntikan pertama dijangka awal minggu depan, hanya lebih setahun setengah selepas vaksin COVID-19 diberi lampu hijau untuk warga emas pada Disember 2020.

Tidak seperti pengawal selia di negara lain, FDA menawarkan siaran langsung perbincangan dalamannya dan kelulusannya dianggap sebagai standard emas global.

"Syor ini memenuhi keperluan yang tidak dapat dipenuhi untuk populasi muda yang benar-benar diabaikan," kata Michael Nelson, seorang profesor perubatan di Universiti Virginia dan seorang daripada 21 pakar yang diminta mengundi untuk mesyuarat penting itu.

Kanak-kanak di bawah usia lima tahun adalah satu-satunya kumpulan umur yang belum layak untuk imunisasi COVID-19 di AS dan kebanyakan negara.

Saintis kanan FDA, Peter Marks, berkata walaupun kajian menunjukkan majoriti kanak-kanak dijangkiti coronavirus, kadar kemasukan ke hospital yang tinggi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak ketika gelombang Omicron musim sejuk lalu menekankan keperluan mendesak untuk vaksinasi.

"Kami sedang menangani isu yang mana kami perlu berhati-hati supaya tidak menjadi kebas kepada kematian kanak-kanak kerana jumlah kematian yang lebih besar.

"Setiap kehidupan adalah penting dan kematian yang boleh dicegah dengan vaksin adalah sesuatu yang kami ingin cuba lakukan," katanya.

Setakat ini AS merekodkan 480 kematian COVID-19 dalam kumpulan umur kosong hingga empat tahun, menurut data rasmi terkini, jauh lebih tinggi daripada "musim selesema yang teruk," kata Marks.

Sehingga Mei 2022, terdapat 45,000 kemasukan ke hospital dalam kumpulan itu, hampir satu perempat daripadanya memerlukan rawatan rapi.

Menjelang mesyuarat itu, FDA menyiarkan analisis bebasnya terhadap vaksin syarikat farmaseutikal, menganggap kedua-duanya selamat dan berkesan.

Kedua-dua vaksin adalah berdasarkan RNA messenger, yang menyampaikan kod genetik untuk protein spike coronavirus kepada sel manusia yang kemudiannya membesar di permukaannya, melatih sistem imun untuk bersedia apabila ia menghadapi virus sebenar.

Teknologi itu kini dianggap sebagai platform vaksinasi COVID yang terkemuka.

Pfizer sedang mendapatkan kebenaran untuk tiga dos pada tiga mikrogram yang diberikan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun, manakala Moderna meminta FDA membenarkan vaksinnya, dua dos 25 mikrogram yang lebih tinggi untuk umur enam bulan hingga lima tahun.

Kedua-dua vaksin telah diuji terhadap ribuan kanak-kanak. Ia didapati menyebabkan kesan sampingan ringan sama seperti dalam kumpulan umur lebih tua dan mencetuskan tahap antibodi sama.

Keberkesanan terhadap jangkitan adalah lebih tinggi untuk Pfizer, dengan syarikat itu meletakkannya pada 80 peratus, berbanding anggaran Moderna sebanyak 51 peratus untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga dua tahun dan 37 peratus bagi mereka yang berumur dua hingga lima tahun.

Tetapi angka Pfizer berdasarkan kes yang sangat sedikit dan oleh itu dianggap sebagai permulaan. Ia juga memerlukan tiga dos untuk mencapai perlindungannya, dengan suntikan ketiga diberikan lapan minggu selepas yang kedua, yang diberikan tiga minggu selepas yang pertama.

Terdapat kira-kira 20 juta kanak-kanak AS berumur empat tahun ke bawah. - AFP

Berita Harian X