Ahad, 29 Mei 2022 | 2:15pm
Kakitangan makmal syarikat vaksin, Bavarian Nordic menjalankan ujian terhadap vaksin cacar monyet di premisnya di Martinsried dekat Munich, Jerman. - Foto REUTERS
Kakitangan makmal syarikat vaksin, Bavarian Nordic menjalankan ujian terhadap vaksin cacar monyet di premisnya di Martinsried dekat Munich, Jerman. - Foto REUTERS

Mexico, Ireland rekod kes pertama cacar monyet

MEXICO CITY: Mexico dan Ireland masing-masing merekodkan kes pertama cacar monyet di negara masing-masing semalam.

Kes pertama di Mexico itu yang disahkan Timbalan Setiausaha Kesihatannya, Hugo Lopez-Gatell, membabitkan pesakit lelaki berusia 50 tahun dan adalah penduduk tetap New York, namun sedang dirawat di Mexico City.

"Pesakit mungkin dijangkiti ketika berada di Belanda," katanya di Twitter sambil mengesahkan pesakit kini sudah diasingkan dan berada dalam keadaan stabil.

Pada Jumaat lalu, Argentina menjadi negara Amerika Latin pertama merekodkan kes cacar monyet.

Sementara itu, menurut agensi kesihatan Ireland, negara itu turut merekodkan kes disyaki cacar monyet.

Namun, menurut Eksekutif Perkhidmatan Kesihatan (HSE), pihaknya masih menunggu keputusan ujian sebelum pengesahan boleh dilakukan.

Cacar monyet sudah merebak di kira-kira 20 buah negara dengan lebih daripada 200 pesakit disahkan atau disyaki dijangkiti, kebanyakannya di Eropah.

Cacar monyet mula mencetuskan kebimbangan kerana wabak yang merebak melalui hubungan rapat dan pertama kali ditemui pada monyet, kebanyakannya berlaku di Afrika Barat dan Tengah.

Sementara itu, beberapa pakar penyakit berjangkit terkemuka mendesak tindakan lebih pantas daripada pihak berkuasa kesihatan global untuk membendung wabak cacar monyet yang semakin merebak.

Menurut mereka, kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak seharusnya mengulangi kesilapan awal ketika pandemik COVID-19 di mana kelambatan pengesanan kes menyebabkan virus itu merebak.

Menurut pakar penyakit viral di Pusat Geneva, Switzerland, Isabelle Eckerle, walaupun cacar monyet tidak berjangkit atau berbahaya seperti COVID-19, perlu ada panduan yang lebih jelas jika seseorang dijangkiti cacar monyet.

"Ini termasuk dari aspek pengasingan, perlindungan terhadap orang berisiko, ujian dan pengesanan kontak.

"Jika ia ditarifkan sebagai endemik (di lebih banyak negara) kita akan berdepan dengan satu lagi penyakit dan banyak keputusan sukar perlu diambil," katanya.

Pada masa sama, Pengarah program kecemasan kesihatan WHO, Mike Ryan, mengesahkan WHO kini sedang mempertimbangkan sama ada wabak itu perlu dinilai sebagai potensi kecemasan kesihatan awam antarabangsa yang membimbangkan (PHEIC).

"Ia sentiasa dalam pertimbangan, tetapi belum ada jawatankuasa kecemasan mengenainya lagi," katanya di luar mesyuarat tahunan WHO di Geneva.

Usaha bagi penyelidikan dan pembiayaan untuk membendung wabak itu akan dipercepatkan jika ia termasuk dalam PHEIC, seperti mana COVID-19 dan Ebola. - REUTERS

Berita Harian X