Ahad, 29 Mei 2022 | 1:17pm
Kanak-kanak memberi penghormatan di sudut peringatan mangsa tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas di Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Kanak-kanak memberi penghormatan di sudut peringatan mangsa tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas di Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Mangsa tembakan rambang di Uvalde ceritakan kisah ngeri

UVALDE: Mangsa terselamat dalam kes tembakan rambang di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas mula menceritakan pengalaman ngeri mereka termasuk ada yang melumurkan darah rakan ke badan sendiri dan berpura-pura 'mati'.

Kebanyakan kanak-kanak yang trauma akibat tragedi Selasa lalu itu baru sekarang membuka mulut mereka, ketika orang ramai mengecam pihak polis kerana lambat bertindak memberkas penembak tunggal, Salvador Ramos, 18.

Orang ramai berkumpul di tengah dataran untuk memberi penghormatan kepada mangsa, mula 'dihantui' dengan kisah diceritakan mangsa yang terselamat daripada Ramos, yang membunuh 19 rakan sekelas mereka serta dua orang guru sebelum dia ditembak mati.

Malah, ramai dalam kalangan mangsa terpaksa berpura-pura mati bagi mengelakkan daripada ditembak.

Antaranya, Miah Cerrillo, 11, mengakui bertindak melumurkan darah rakannya yang mati ke badan sendiri dan berpura-pura sudah tidak bernyawa serta berdoa tidak ditembak dalam tragedi di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas pada Selasa lalu itu.

Miah memberitahu CNN, ketika serangan, murid di kelasnya sedang menonton Lilo and Stitch sebagai sebahagian daripada sambutan akhir tahun apabila penembak memasuki bilik darjahnya.

Sebelum itu, memang sudah tersebar berita mengenai terdapat lelaki bersenjata di dalam kawasan bangunan sekolah.

"Tetapi, ketika seorang daripada guru mahu menutup pintu bilik darjah sebagai langkah keselamatan, lelaki bersenjata itu muncul di muka pintu.

"Lelaki bersenjata itu bertentang mata dengan guru berkenaan dan menembak ke arah luar pintu.

"Penembak itu kemudian memandang mata guru berkenaan dan sempat berkata, 'selamat malam', sebelum menembak guru itu yang menjadi seorang daripada mangsa maut dalam serangan berkenaan," kata Miah.

Tambah Miah, Selepas melepaskan tembakan di bilik darjahnya, lelaki bersenjata itu masuk ke dalam bilik darjah bersebelahan dan melepaskan tembakan.

Pada ketika itu, dia dapat mendengar lebih banyak jeritan dan tembakan bertubi-tubi, sebelum lelaki bersenjata itu mula memainkan muzik sedih.

Semasa lelaki bersenjata itu berada di bilik darjah lain, Miah bertindak mengambil darah rakannya yang sudah terkena tembakan dan melumurkan ke seluruh tubuhnya serta berpura-pura mati.

Dia dan rakan lain yang terselamat mengambil telefon bimbit guru yang sudah mati untuk menghubungi 911 bagi mendapatkan bantuan.

Menurut Miah, keseluruhan serangan itu dirasakan sangat lama, mungkin sehingga tiga jam, sedangkan pada hakikatnya semua berlaku dalam tempoh sejam.

"Saya tidak faham mengapa polis tidak masuk dalam bangunan untuk menyelamatkan kami," katanya sambil menangis apabila mengetahui polis menunggu di luar sekolah selama hampir sejam, selepas kejadian tembakan itu.

Miah juga terkena serpihan peluru dan memerlukan rawatan, kata keluarganya dalam laman GoFundMe.

Seorang lagi mangsa, Samuel Salinas, 10, yang ketika kejadian berada di dalam kelasnya, berkongsi kisah pahit apabila penembak menyerbu masuk dan mengumumkan bahawa mereka semua akan mati.

"Selepas berkata begitu, dia kemudiannya terus menembak secara rambang," katanya kepada ABC News.

Salinas berkata, ketika itu dia menyangka Ramos menembaknya, tetapi peluru itu kena pada kerusi sebelum serpihannya melantun terkena pada kakinya.

"Saya berpura-pura mati supaya dia tidak menembak saya lagi," katanya.

Seorang lagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel pula berkata, dia sendiri melihat Ramos menembak melalui kaca pintu kelas, menyasarkan gurunya.

"Peluru itu 'panas'... dan apabila peluru lain kena pada hidung rakan, saya mendengar suara kesakitan," katanya kepada The Washington Post.

Daniel berkata, gurunya juga berulang kali meminta semua pelajar bertenang dan jangan bergerak walaupun sedang terbaring dengan pendarahan serius di atas lantai.

Daniel akhirnya diselamatkan oleh polis yang memecahkan tingkap kelasnya, namun murid berkenaan mengakui sering mengalami mimpi buruk hingga sekarang.

Pihak berkuasa Texas pada Jumaat lalu mengakui 19 pegawai polis berada di kawasan sekolah selama hampir sejam tanpa bertindak, berikutan menyangka penembak sudah berhenti membunuh.

Pihak berkuasa bagaimanapun mengesahkan tindakan itu sebagai keputusan yang salah dan sudah memulakan siasatan berhubung isu itu.

Beberapa mangsa yang terselamat turut menggambarkan keadaan di mana mereka terpaksa berulang kali membuat panggilan kecemasan 911 merayu pihak polis segera membantu ketika kejadian itu berlaku. - AFP

Berita Harian X