Ahad, 29 Mei 2022 | 10:27am
Pasukan bomba menyelamatkan penduduk di kawasan banjir di Recife, Pernambuco di Brazil. - Foto AFP
Pasukan bomba menyelamatkan penduduk di kawasan banjir di Recife, Pernambuco di Brazil. - Foto AFP

Hujan lebat di Brazil ragut 35 nyawa di Brazil

BRASILIA: Sekurang-kurangnya 35 mangsa maut manakala hampir 1,000 lagi terpaksa meninggalkan kediaman berikutan hujan lebat yang melanda Pernambuco iaitu negeri di Timur Laut Brazil sejak Selasa lalu, menyebabkan tanah runtuh dan banjir.

Menurut maklumat rasmi Jabatan Pertahanan Awam, 29 daripada 35 kematian berlaku pada hari sebelumnya.

"Sejak akhir Rabu hingga tengah hari Sabtu, 35 mangsa disahkan maut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut  Pertahanan Awam lagi, daripada keseluruhan angka korban, 20 maut dalam kejadian tanah runtuh di Jardim Monteverde semalam, iaitu sempadan antara ibu negeri Recife dan perbandaran Jaboatao dos Guararapes.

Sementara itu, enam lagi terbunuh dalam tanah runtuh berasingan di Camaragibe manakala dua maut di Recife dan seorang lagi di Jaboatao dos Guararapes.

"Baki lima lagi terkorban sepanjang minggu lalu," katanya.

Laporan media tempatan pula mengatakan kejadian di Olinda menyebabkan tiga terbunuh akibat tanah runtuh manakala mangsa keempat maut selepas terjatuh dalam terusan.

Presiden, Jair Bolsonaro, turut menyatakan kesedihan dan solidariti kepada mangsa bencana melalui Twitter, sekali gus memberi jaminan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk meringankan penderitaan mereka.

Beliau berkata, pihaknya susah mengarahkan pasukan tentera dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewarganegaraan untuk membantu operasi menyelamat selain menyediakan bantuan keperluan asas kepada keluarga terjejas.

Video yang dimuat naik di beberapa laman sosial menunjukkan rumah musnah selain tanah runtuh akibat banjir di beberapa majlis perbandaran.

Menurut pakar meteorologi dari agensi MetSul, Estael Sias, berkata hujan lebat yang melanda Pernambuco dan beberapa negeri Timur Laut lain adalah disebabkan fenomena yang dipanggil 'ombak timur'.

Beliau berkata, semua kawasan terjejas adalah di pusat 'gangguan atmosfera' yang bergerak dari benua Afrika ke kawasan pantai Timur Laut Brazil.

"Di kawasan lain di Atlantik, ketidakstabilan ini membentuk taufan tetapi di timur laut Brazil ia berpotensi untuk berlaku hujan lebat dan juga ribut petir," katanya.

Sementara itu, Institut Meteorologi Kebangsaan (INMET) pula mengekalkan 'amaran merah' hingga hari ini di Pernambuco iaitu tahap amaran tertinggi untuk banjir dan tanah runtuh.

Menurut pejabat Datuk Bandar, dalam tempoh beberapa jam iaitu antara Jumaat malam hingga Sabtu pagi, jumlah hujan mencecah 236 milimeter (mm) di beberapa bahagian ibu kota Pernambuco.

Katanya, ia adalah bersamaan dengan lebih 70 peratus ramalan untuk sepanjang bulan Mei di bandar itu.

Menurut Agensi Air dan Iklim Pernambuco pula, keadaan itu dijangka boleh menjadi lebih teruk kerana hujan akan berterusan selama 24 jam akan datang di negeri sama. - AFP

Berita Harian X