Jumaat, 20 Mei 2022 | 2:17pm
Guterres (kiri) bercakap pada mesyuarat di New York, semalam. - FOTO EPA
Guterres (kiri) bercakap pada mesyuarat di New York, semalam. - FOTO EPA

4 langkah tangani isu keselamatan makanan global

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggariskan empat langkah yang boleh diambil oleh negara di serata dunia bagi menghentikan 'kedinamikan konflik dan kelaparan yang membawa kepada kematian.'

Beliau menegaskan, ia bermula dengan memfokus kepada penyelesaian politik bagi menamatkan konflik, mencegah konflik baharu serta mewujudkan keamanan yang mampan.

"Paling penting, kita perlu menamatkan peperangan di Ukraine," katanya sambil menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) supaya berusaha sedaya upaya mendorong keamanan di Ukraine dan seluruh dunia.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat UNSC, semalam, bagi menangani isu keselamatan makanan serta mendesak komuniti antarabangsa memperkukuhkan kerjasama untuk menyelesaikannya.

Seterusnya, Guterres menekankan kepentingan untuk melindungi akses kemanusiaan dan bekalan serta barangan keperluan orang awam.

Malah, beliau menyentuh peranan penting negara anggota dalam menuntut pematuhan kepada undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan mengusahakan akauntabiliti apabila ia dilanggar.

Selain itu, katanya, penyelarasan dan kepimpinan perlu dilonjakkan untuk menangani risiko saling berhubung kait antara isu keselamatan makanan, tenaga dan pembiayaan.

Akhirnya, beliau berkata, penyumbang kini amat perlu membiayai sepenuhnya rayuan kemanusiaan dengan bantuan pembangunan rasmi.

"Beralih kepada keutamaan lain bukanlah satu pilihan ketika dunia kini berada di ambang masalah kelaparan besar-besaran.

"Memberi makan kepada mereka yang kelaparan adalah pelaburan dalam keselamatan dan keamanan global. Di dunia ini, tiada sesiapa pun yang wajar menerima kejadian 'seorang kanak-kanak, wanita atau lelaki' mati kelaparan, termasuk negara anggota Majlis ini," katanya.

Guterres memaklumkan, kira-kira 60 peratus penduduk dunia yang kekurangan zat makanan, tinggal di kawasan terkesan konflik, malah menegaskan bahawa 'tiada negara yang kebal'.

"Apabila perang berlaku, orang ramai akan kelaparan," katanya.

Tahun lalu, sebahagian besar daripada 140 juta penduduk yang bergelut dengan isu kelaparan teruk di seluruh dunia, tinggal di 10 negara.

Negara terbabit ialah Afghanistan, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Haiti, Nigeria, Pakistan, Sudan Selatan, Sudan, Syria dan Yaman; dengan lapan daripadanya tersenarai dalam agenda UNSC.

"Tidak diragui lagi: apabila Majlis ini membincangkan isu konflik, anda turut membahaskan isu kelaparan. Apabila keputusan mengenai misi pengaman serta politik dibuat, anda juga membuat keputusan mengenai isu kelaparan.

"Jika anda gagal mencapai konsensus, maka penduduk yang sedang kelaparan akan menanggung akibatnya," katanya, menurut laporan Xinhua.

Beliau sekali gus menekankan bahawa peperangan yang sedang melanda Ukraine, memburukkan lagi isu kelaparan global. - BERNAMA

Berita Harian X