Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:37am
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - FOTO REUTERS

PBB gesa hasil pertanian Russia, Ukraine dikembalikan dalam pasaran dunia

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa supaya usaha dilakukan untuk mengembalikan hasil pertanian Russia dan Ukraine ke dalam pasaran dunia.

Beliau menjelaskan, sebarang penyelesaian bermakna terhadap isu keselamatan makanan global, memerlukan hasil pertanian Ukraine dan pengeluaran makanan serta baja oleh Russia dan Belarus disepadukan semula ke dalam pasaran dunia, meskipun peperangan sedang berlaku.

"Kami sedang berusaha ke arah suatu perjanjian pakej yang akan membolehkan Ukraine mengeksport makanan bukan saja menggunakan kereta api tetapi juga menerusi Laut Hitam, selain bakal membawa makanan serta baja keluaran Russia kembali ke dalam pasaran dunia tanpa sekatan," katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai konflik dan keselamatan makanan, semalam, menurut laporan Xinhua.

Guterres berkata, usaha itu memerlukan 'semangat muhibah dalam kalangan semua negara berkaitan.'

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengeluaran dana AS$30 juta (RM131.97 juta) daripada Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) bagi memenuhi keperluan keselamatan makanan dan nutrisi yang mendesak di Niger, Mali, Chad serta Burkina Faso.

"Ini menjadikan hampir AS$95 juta (RM417.9 juta) pembiayaan sudah disalurkan melalui CERF ke Sahel (wilayah barat serta utara tengah benua Afrika meliputi Burkina Faso, Cameroon, Chad, The Gambia, Guinea Mauritania, Mali, Niger, Nigeria dan Senegal) sejak awal tahun ini," katanya.

Guterres menegaskan, fokus terhadap penyelesaian politik untuk menamatkan konflik, mencegah konflik baharu serta membina keamanan yang mampan, adalah penting untuk menyelesaikan isu keselamatan makanan.

Selain itu, beliau juga menggesa supaya perhatian diberi kepada risiko saling berhubung kait membabitkan aspek keselamatan makanan, tenaga serta pembiayaan, yang 'memerlukan penyelarasan dan kepimpinan jauh lebih besar'. – BERNAMA

Berita Harian X