Jumaat, 6 Mei 2022 | 10:14am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Bukti meningkat keperluan kaji 'long COVID' - Penyelidik

CHICAGO: Laporan tambahan pesakit yang menghidap 'long COVID' dirawat menggunakan antivirus oral Pfizer Inc, Paxlovid menawarkan dorongan baharu bagi membuat ujian klinikal untuk menguji ubat bagi kelesuan, kata penyelidik Amerika Syarikat (AS).

Tiga kajian baharu susulan laporan awal pesakit 'long COVID' yang mengalami kelegaan gejala lebih awal selepas menjalani rawatan yang ketika ini hanya dibenarkan bagi individu berisiko tinggi selepas permulaan gejala COVID-19.

Sebanyak 30 peratus pesakit COVID-19 dipercayai menghidapi 'long COVID', keadaan yang boleh bertahan selama beberapa bulan dengan gejala termasuk keletihan, degupan jantung pantas, sesak nafas, sakit kronik, kabut otak dan kelemahan otot.

Ia memberi kesan kepada pesakit COVID-19 bergejala ringan dan teruk, termasuk kanak-kanak dan mampu menjadi sangat teruk sehingga menghalang bekas pesakit daripada bekerja.

Menerusi laporan diterbitkan minggu ini, sebelum kajian semula setara, penyelidik Universiti California, San Francisco (UCSF) memperincikan kes tiga pesakit mengalami gejala jangka panjang selepas jangkitan COVID-19.

Dalam dua kes, pesakit dapat mengakses terapi antivirus Paxlovid dan merasakan gejala 'long COVID' bertambah baik dengan ketara," kata Dr. Michael Peluso, yang diterbitkan dalam talian di Research Square.

Pesakit ketiga pula diberi ubat seperti ditetapkan untuk merawat jangkitan akut.

Walaupun gejala bertambah baik pada awalnya, ia kembali sejurus berhenti mengambil ubat dan lelaki terbabit kemudiannya menghidap 'long COVID'.

"Ada banyak harapan mengenai terapi antiviral awal, selain mencegah COVID-19 teruk, ia akan menghalang 'long COVID'.

"Ia mungkin benar, tetapi kes menunjukkan ia tidak akan benar 100 peratus sepanjang masa," katanya.

Ketiga-tiga pesakit berusia 40-an lengkap divaksinasi dan didaftarkan dalam percubaan 'long COVID-19' UCSF dikenali sebagai LIINC.

Kes terbabit tidak muktamad, tetapi ia menawarkan petunjuk mengenai 'long COVID', keadaan yang kurang difahami, menyebabkan penyelidik bertungkus-lumus mencari kemungkinan puncanya.

"Ia memberi bukti bahawa kita perlu mengkajinya tidak lama lagi dan secara sistematik, yang bermaksud percubaan rawak," kata Peluso.

Beliau berkata, pasukan UCSF mahu menjalankan kajian sedemikian, tetapi memerlukan pembiayaan daripada agensi seperti Institut Kesihatan Nasional dan penghasil ubatan.

Jurucakap Pfizer, Kit Longley, berkata syarikat tidak membuat sebarang kajian 'long COVID' tetapi sedang memantau data daripada kajian klinikal sedang dijalankan, bukti nyata dan mungkin menerokai isu itu dengan lebih lanjut.

"Kini secara kolektif terdapat rasional mencukupi untuk mereka membentuk dan melaksanakan kajian terkawal prospektif mengenai terapi antiviral, termasuk Paxlovid," kata Dr Steven Deeks dari UCSF dan pengarang kanan kajian itu. - REUTERS

Berita Harian X