Ahad, 1 Mei 2022 | 1:16pm
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. - Foto EPA
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. - Foto EPA

AS tidak peduli amaran Putin, terus sokong Ukraine

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak mempedulikan ancaman Presiden Russia, Vladimir Putin, yang mengugut akan menggunakan senjata nuklear jika Barat terus campur tangan dalam isu Ukraine.

Malah, AS sebaliknya secara terbuka mencabar pemimpin Russia itu dengan usaha menghimpunkan bekalan senjata global dan meminta Kongres meluluskan peruntukan AS$33 bilion (RM143.67 bilion) bagi Ukraine.

Usaha itu dilakukan selepas AS membawa 40 negara berkumpul di pangkalannya di Jerman minggu lalu untuk membincangkan bantuan perang bagi Ukraine sementara Putin Rabu lalu terus mengancam tindak balas 'sepantas kilat' jika ada sebarang campur tangan langsung oleh pihak luar mewakili Kyiv.

"Kami mempunyai semua peralatan (senjata nuklear) untuk ini, yang tidak boleh dipertikaikan sesiapa, namun kami tidak akan bermegah mengenainya tetapi akan menggunakannya jika perlu," kata Putin.

Beliau merujuk kepada senjata nuklear taktikal milik tentera Russia, yang sudah ditegaskan Kremlin sebelum ini bahawa ia akan digunakan untuk memaksa musuh berundur.

Namun, sebalik menarik balik ancaman untuk melepaskan bom nuklear di Moscow, Presiden AS, Joe Biden, kini menggandakan sokongan negaranya untuk Ukraine.

Peruntukan AS$33 bilion (RM144 bilion) yang dimintanya termasuk $20 bilion (RM87.07 bilion) untuk kelengkapan senjata, hampir tujuh kali ganda jumlah yang dihantar ke negara itu sejak Russia menyerang pada 24 Februari lalu.

Pada permulaan perang, Washington secara agresif bimbang melengkapkan tentera Ukraine dengan apa-apa selain senjata 'pertahanan' bagi mengelak risiko membabitkan AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam konflik langsung dengan Russia.

Kini, Pentagon sudah menghapuskan halangan terdahulu dan menghantar senjata serangan seperti artileri berat, helikopter dan dron serangan.

Berbanding menyembunyikannya, Pentagon pada minggu ini mula bercakap secara terbuka mengenai bagaimana pihaknya melatih tentera Ukraine, termasuk di Jerman, untuk menggunakan senjata yang diterima negara itu.

Ini bercanggah dengan kenyataan yang dibuat Februari lalu bahawa AS hanya mahu membantu Ukraine bertahan, sebalinya Washington kini berkata matlamatnya dalam perang adalah untuk melemahkan Russia untuk jangka panjang.

"Kami mahu melihat Russia lemah sehingga tidak boleh melakukan perkara seperti yang dilakukannya dengan menceroboh Ukraine," kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, selepas lawatan ke Kyiv, minggu lalu.

Bagi pihak kerajaan AS, ancaman nuklear Putin diketepikan, Biden dan pegawai tertingginya melabelkan ancaman nuklear Moscow sebagai 'tidak bertanggungjawab'. - AFP

Berita Harian X