Rabu, 27 April 2022 | 10:51am
Logo Twitter pada bangunan ibu pejabat syarikat media sosial itu di San Francisco, California di Amerik Syarikat (AS). - Foto AFP
Logo Twitter pada bangunan ibu pejabat syarikat media sosial itu di San Francisco, California di Amerik Syarikat (AS). - Foto AFP

Musk perlu bayar AS$ 1 bilion jika batal pembelian Twitter

SAN FRANCISCO: Elon Musk perlu membayar Twitter sebanyak AS$1 bilion (RM4.3 bilion) sebagai yuran pembatalan jika bilionair terbabit mahu membatalkan pembelian syarikat media sosial itu.

Menurut dokumen yang difailkan semalam, Musk kelmarin bersetuju membeli Twitter dengan bayaran tunai AS$44 bilion (RM1.9 trilion).

Yuran pembatalan itu adalah salah satu syarat pembayaran Musk sekiranya urus niaga itu gagal kerana isu ekuiti, hutang atau gagal mendapat pembiayaan hutang.

Kelmarin, Twitter memaklumkan Musk berjaya memperoleh hutang dan pembiayaan sebanyak AS$25.5 bilion (RM1.1 trilion) serta berupaya menyediakan komitmen ekuiti berjumlah AS$21 bilion (RM91 bilion).

Twitter, yang terikat dengan syarat tidak boleh mencari tawaran lain, juga perlu membayar kadar yang sama jika mahu membatalkan perjanjian dengan Musk, menurut dokumen yang difailkan.

Menurut dokumen sama, urus niaga itu akan terbatal jika tidak diselesaikan menjelang 24 Oktober ini tetapi tarikh berkenaan boleh dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi memenuhi syarat berkaitan termasuk kelulusan pelaburan asing.

Musk, yang juga Ketua Eksekutif pengeluar kereta elektrik, Tesla, berjaya mendapatkan tawaran membeli Twitter kelmarin.

Jika urus niaga itu berjaya, pentas media sosial yang disertai jutaan pengguna termasuk pemimpin global itu, akan berpindah milik ke tangan individu terkaya dunia. - REUTERS

Berita Harian X