Jumaat, 22 April 2022 | 9:52am
 Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. - Foto AFP

Biden umum pakej ketenteraan AS$800 juta kepada Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu sebanyak AS$800 juta (RM3.4 bilion) ke Ukraine bagi membantu Kyiv memerangi tentera Russia di wilayah Donbas.

Pentagon, berkata bantuan kali ini termasuk 72 senjata 155mm howitzers, 72 kenderaan berperisai untuk menunda, 144,000 butir peluru dan lebih 120' "Phoenix Ghost" dron taktikal yang baharu dibangunkan secara khusus oleh Tentera Udara AS untuk memenuhi keperluan Ukraine.

Biden berkata pakej baharu itu direka khas untuk membantu tentera Ukraine menghadapi kemunculan serangan Russia di timur negara itu, yang menurutnya adalah berbeza daripada pertempuran di utara Kyiv yang mana pasukannya berjaya mengusir tentera Russia selepas enam minggu.

"Kita berada di fasa kritikal sekarang… di mana mereka sedang mempersiapkan pentas untuk fasa peperangan yang seterusnya.

"AS, sekutu dan rakan kongsi kami bergerak sepantas mungkin untuk terus menyediakan Ukraine… senjata yang diperlukan tentera mereka untuk mempertahankan negaranya," katanya.

Biden turut mengumumkan kapal yang mempunyai kaitan dengan Russia diharamkan dari pelabuhan AS dan Perbendaharaannya akan menyediakan AS$500 juta (RM2.14 bilion) untuk kerajaan Ukraine bagi membayar gaji, pencen dan menyediakan perkhidmatan.

Katanya, perpaduan antara AS dan sekutu dalam membantu Ukraine memberikan mesej yang tidak dapat disangkal kepada Presiden Russia, Vladimir Putin.

"Beliau tidak akan berjaya dalam mendominasi dan menduduki keseluruhan Ukraine. Itu tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang meminta senjata lebih banyak dan berat menzahirkan rasa terima kasih atas pengumuman itu menerusi ciapannya di Twitter.

"Bantuan ini diperlukan hari ini lebih daripada sebelumnya.

"Ia menyelamatkan nyawa pembela demokrasi dan kebebasan serta membawa kami lebih dekat untuk mengembalikan keamanan di Ukraine," katanya.

Di Pentagon, jurucakap John Kirby, berkata tentera Ukraine sudah dilatih menggunakan M777 howitzers, manakala sebahagian peralatan baharu sedang dihantar ke negara itu menjelang hujung minggu ini.

Dron baharu itu, katanya akan bertindak sebagai pemantau dan penyerang yang boleh berlegar di atas sasaran serta menjatuhkan senjata atau melanggar sasaran dan meletup pada masa yang sesuai.

Kami akan terus menggunakan semua peralatan yang ada untuk menyokong pasukan bersenjata Ukraine dalam menghadapi pencerobohan Russia," katanya.

Pelbagai sekutu di Eropah turut membekalkan senjata dan bekalan ketenteraan kepada Ukraine.

Biden berjanji bantuan ketenteraan AS untuk Kyiv tidak akan berhenti, selain bersedia meminta kepada Kongres lebih banyak dana bagi memastikan bekalan senjata dan peluru yang berterusan tanpa gangguan.

Beliau menggesa sekutunya untuk terus memberikan sokongan.

"Kita mempunyai kapasiti untuk melakukan ini untuk jangka masa panjang.

"Persoalannya, adakah kita akan mengekalkan sokongan komuniti antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Putin dan terus mengenakan sekatan keras terhadap Russia," katanya.

Katanya, apa yang paling penting adalah mengekalkan perpaduan. - AFP

Berita Harian X