Jumaat, 22 April 2022 | 7:31am
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Kadar vaksinasi kanak-kanak AS turun ketika pandemik

NEW YORK: Kadar vaksinasi kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) menurun ketika pandemik COVID-19 apabila ramai kanak-kanak melangkau janji temu doktor dan negeri-negeri mengurangkan keperluan vaksin ketika pembelajaran secara maya, menurut kajian kerajaan dikeluarkan pada Khamis.

Ketika tahun persekolahan 2020-2021, liputan vaksinasi dalam kalangan murid tadika di seluruh negara untuk tiga vaksin yang diperlukan adalah kira-kira satu peratus lebih rendah daripada tahun persekolahan sebelumnya, menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

"Apabila sekolah kembali kepada pembelajaran secara bersemuka, liputan vaksinasi yang tinggi diperlukan untuk terus melindungi pelajar daripada penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin," kata pengarang kajian itu.

Penyelidik melihat liputan untuk tiga vaksin yang biasa diperlukan iaitu vaksin MMR untuk mencegah campak, beguk, dan rubella; DTaP, yang menghalang difteria, tetanus dan pertusis aselular dan suntikan varicella untuk cacar air.

Liputan untuk ketiga-tiga vaksin menurun di kebanyakan negeri kepada kira-kira 94 peratus, di bawah sasaran 95 peratus, kata CDC.

"Ini (peratusan) mungkin nampak tidak banyak tetapi ia merangkumi sekurang-kurangnya 35,000 kanak-kanak di seluruh AS yang memasuki tadika tanpa dokumentasi vaksinasi lengkap terhadap penyakit biasa seperti campak, batuk kokol dan cacar air," kata Pemangku Pengarah Bahagian Perkhidmatan Imunisasi CDC, Georgina Peacock.

Kajian itu merangkumi data yang dikumpul untuk tahun persekolahan 2020–2021 mengikut program imunisasi negeri dan tempatan di 47 negeri dan Daerah Columbia.

Pengarang kajian mencatatkan beberapa batasan pada data mereka, termasuk variasi dalam keperluan vaksin negeri dan proses dokumentasi, bukan kemasukan tiga negeri dan halangan yang dicipta oleh pandemik seperti peralihan kepada pembelajaran maya. - REUTERS

Berita Harian X