Rabu, 6 April 2022 | 8:50am
Biden ketika menyampaikan amanat mengenai COVID-19 sebelum menerima vaksin penggalak kedua di White House pada 30 Mac lalu (gambar fail). - REUTERS
Biden ketika menyampaikan amanat mengenai COVID-19 sebelum menerima vaksin penggalak kedua di White House pada 30 Mac lalu (gambar fail). - REUTERS

AS lancar pelan tindakan kebangsaan tangani Long COVID

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, mengumumkan pelan tindakan kebangsaan yang akan dibangunkan oleh jabatan kesihatan negara itu bagi menangani krisis kesihatan yang semakin meruncing akibat wabak COVID-19 yang berpanjangan.

Gejala long COVID yang dialami selepas dijangkiti wabak itu, memberi kesan kepada hampir tujuh peratus individu dewasa dan 2.3 peratus daripada keseluruhan populasi yang menelan kira-kira AS$386 bilion (RM1.63 trilion) kehilangan pendapatan, simpanan dan bil hospital.

Analisis itu dikeluarkan kumpulan penyelidik 'Initiative Solve Long Covid' yang turut memaklumkan bahawa terdapat lebih 200 simptom dialami pesakit yang berlarutan selama hampir beberapa bulan.

Antara simptom yang dialami pesakit termasuk lesu, kesukaran bernafas dan berasa letih selepas melakukan aktiviti fizikal yang minimum.

White House memaklumkan, pelan itu akan memperluaskan kajian, penjagaan dan perkhidmatan orang kurang upaya kepada mana-mana pihak yang berdepan situasi itu.

Di bawah perancangan itu, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan akan melabur sebanyak AS$20 juta (RM84.21 juta) pada tahun hadapan bagi mengetahui bagaimana sistem penjagaan kesihatan boleh membantu pesakit yang menghidap long COVID dan membangunkan klinik dalam pelbagai kepakaran di seluruh negara.

Pelan itu turut diminta untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak AS$25 juta (RM105.26 juta) kepada Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan AS daripada bajet Biden pada 2023, selain pelaburan tambahan AS$50 juta (RM210.52 juta) kepada agensi berkenaan.

Pelaburan tambahan itu bagi memahami, mencari penyelesaian kepada karakter, faktor risiko dan mekanisme asas serta kesan jangka panjang Long COVID.

Peruntukan lain termasuk menambah lebih banyak program COVID ke dalam 18 kemudahan Jabatan Hal Ehwal Veteran.

HHS juga akan turut melancarkan projek baharu iaitu Health+ bertujuan mendapat pencerahan tentang pengalaman pesakit yang hidup dalam keadaan lemah untuk memberi pandangan mengenai penjagaan berkualiti tinggi, selain menyumbang kepada amalan terbaik di klinik Long COVID.

Pelan itu juga akan menukar penemuan dalam kajiannya untuk dijadikan dasar bagi Pentadbiran Keselamatan dan Sosial, selain bekerjasama dengan Jabatan Buruh untuk menentukan sama ada pesakit boleh kembali bekerja.

Ia juga akan menukar penemuannya menjadi dasar untuk orang hilang upaya yang boleh digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Sosial, selain bekerjasama dengan Jabatan Buruh untuk membantu pekerja yang terjejas dan memutuskan sama ada mereka boleh kembali bekerja. - REUTERS

Berita Harian X