Sabtu, 2 April 2022 | 12:41pm
Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths
Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths

Pegawai tertinggi PBB lawat Moscow minggu ini

NEW YORK: Pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan lawatan ke Moscow minggu ini, sebagai usaha untuk mencapai 'gencatan senjata kemanusiaan' di Ukraine, kata Setiausaha Agung, Antonio Guterres semalam.

Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan, Martin Griffiths, adalah pegawai tertinggi yang dipertanggungjawab untuk mengadakan lawatan ke Moscow esok dan seterusnya Kyiv.

Guterres berkata, lawatan berkenaan menunjukkan pihaknya tidak pernah menyerah kalah mengenai perspektif menghentikan peperangan sama ada di Yaman, Ukraine mahupun seluruh dunia.

Beliau berkata, Russia dan Ukraine bersetuju untuk bertemu dengan Griffiths.

Russia sehingga hari ini enggan menerima lawatan daripada pegawai kanan PBB bagi membincang mengenai perang di Ukraine, termasuk beberapa minggu sebelum pencerobohan Moscow sejak 24 Februari lalu, apabila Guterres cuba menghantar Timbalan Hal Ehwal Politik, Rosemary DiCarlo.

Sejak perang tercetus, Ketua PBB gagal untuk mendapatkan Presiden Russia, Vladimir Putih, yang menurut diplomat berang dengan tuduhan Guterres bahawa Russia melanggar Piagam PBB kerana menyerang negara jiran.

Moscow juga menolak penggunaan istilah 'perang' dan menegaskan pihaknya menjalankan operasi ketenteraan khas di Ukraine. - AFP

Berita Harian X