Sabtu, 19 March 2022 | 8:49am
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengadakan perbincangan secara maya dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumah Putih. - Foto REUTERS.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengadakan perbincangan secara maya dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumah Putih. - Foto REUTERS.

Biden beri amaran kepada China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden semalam memberi amaran kepada Presiden China, Xi Jinping bahawa akan ada 'akibat' jika Beijing terus memberikan sokongan material kepada pencerobohan Russia ke atas Ukraine, kata Rumah Putih.

Pada masa sama, kedua-dua pihak menekankan keperluan kepada penyelesaian diplomatik bagi menangani krisis berkenaan.

Dalam panggilan video selama dua jam, Biden memperincikan usaha AS dan sekutunya untuk bertindak balas terhadap pencerobohan itu, termasuk dengan mengenakan tekanan terhadap Russia.

"Biden menerangkan implikasi dan akibat jika China memberikan sokongan material kepada Russia yang melakukan serangan kejam terhadap bandar dan orang awam Ukraine," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Biden 'memberi penekanan kepada penyelesaian diplomatik terhadap krisis itu'.

Kementerian Luar China berkata, Jinping memberitahu Biden bahawa perang di Ukraine mesti ditamatkan secepat mungkin dan menggesa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk mengadakan dialog dengan Moscow.

Jinping bagaimanapun tidak mempersalahkan Russia atas pencerobohan itu.

"Keutamaan sekarang ialah meneruskan dialog dan rundingan, mengelakkan kematian dalam kalangan orang awam, mencegah krisis kemanusiaan, menghentikan pertempuran dan menamatkan perang secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyokong dialog dan rundingan Russia-Ukraine, manakala Washington dan NATO juga harus mengadakan rundingan dengan Russia untuk menyelesaikan 'punca utama' krisis Ukraine dan menyelesaikan kebimbangan keselamatan membabitkan kedua-dua negara berkenaan.

"Krisis Ukraine adalah sesuatu yang kita tidak mahu lihat," lapor media kerajaan China, memetik kenyataan Jinping dalam panggilan itu, sebagaimana diminta oleh pihak AS.

Khamis lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata pentadbiran Biden bimbang China sedang mempertimbangkan untuk membantu Russia secara langsung dengan peralatan ketenteraan untuk digunakan di Ukraine, namun ia dinafikan oleh Beijing.

Untuk rekod, pencerobohan Russia ke atas Ukraine kini sudah masuk minggu keempat dan susulan itu, ratusan orang awam terbunuh, menyebabkan kehancuran di kawasan bandar dan mencetuskan krisis kemanusiaan apabila berjuta-juta orang meninggalkan negara itu. - REUTERS

Berita Harian X