Khamis, 17 March 2022 | 7:37am
Biden (kiri) menggelar Putin sebagai ‘penjenayah perang’. - Foto AFP
Biden (kiri) menggelar Putin sebagai ‘penjenayah perang’. - Foto AFP

Biden gelar Putin 'penjenayah perang'

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggelar Vladimir Putin sebagai 'penjenayah perang' susulan tindakan rakan sejawatnya dari Russia itu ke atas Ukraine.

Biden ketika bersama wartawan di White House pada Rabu, berkata "Oh, saya rasa dia seorang penjenayah perang" selepas pada mulanya menjawab "tidak" kepada soalan sama ada beliau bersedia untuk menggelar Putin sebegitu.

Ia kali pertama Biden menjenamakan Putin secara terbuka dengan frasa sedemikian. Minggu lalu, semasa lawatan ke Poland, Naib Presiden AS, Kamala Harris berkata, Russia harus benar-benar disiasat untuk potensi jenayah perang.

Setiausaha akhbar White House, Jen Psaki kemudian menyatakan Biden bercakap dari hati, sambil menyatakan terdapat proses undang-undang berasingan untuk menentukan sama ada Putin melanggar undang-undang antarabangsa serta melakukan jenayah perang, malah proses itu sedang dijalankan di Jabatan Negara.

Terdahulu, Biden berkata AS menawarkan Ukraine AS$1 bilion (RM4.2 bilion) bantuan keselamatan, susulan rayuan mendesak Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy kepada Kongres AS untuk bantuan ketenteraan bagi menangkis pencerobohan Russia.

Beliau berkata, AS akan terus memberikan senjata kepada Ukraine untuk melawan dan mempertahankan diri, menawarkan bantuan kemanusiaan dan menyokong ekonomi negara itu dengan bantuan kewangan tambahan.

"Pakej baharu ini dengan sendirinya akan memberikan bantuan tidak pernah berlaku sebelum ini kepada Ukraine, dan termasuk 800 sistem antipesawat," kata Biden ia untuk menghentikan serangan ke atas Ukraine oleh pesawat dan helikopter Russia.

Biden berkata, atas permintaan Zelenskiy, Washington akan membantu Ukraine memperoleh tambahan sistem antipesawat peluru berpandu jarak jauh dan AS juga akan membekalkan 9,000 sistem antiperisai, dron serta 7,000 senjata kecil seperti mesingan, senapang patah dan pelancar bom tangan yang akan membantu orang awam yang berjuang mempertahankan negara mereka.

"Lebih banyak akan datang kerana kami mendapatkan stok tambahan peralatan yang...kami sedia untuk memindahkannya," katanya.

Dana baharu diumumkan itu akan diambil daripada rang undang-undang perbelanjaan ditandatangani Biden yang menjadi sebahagian AS$13.6 bilion (RM57.08 bilion) bantuan baharu kepada Ukraine.

Terdahulu, Russia dan Ukraine masing-masing menekankan skop baharu untuk dikompromi memandangkan rundingan damai ditetapkan untuk disambung semula tiga minggu selepas serangan Russia setakat ini gagal untuk menjatuhkan kerajaan Ukraine.

Biden meningkatkan sekatan ke atas Russia dalam beberapa hari kebelakangan ini. Beliau menggesa penggantungan status dagangan Russia yang memberikan produk dieksport dengan tarif lebih rendah di arena antarabangsa dan mengumumkan pengharaman ke atas minyak Russia serta import tenaga lain.

Dalam pada itu di Moscow, Kremlin menyatakan frasa digunakan Biden yang merujuk Putin sebagai 'penjenayah perang' susulan operasi ketenteraannya di Ukraine sebagai tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.

"Kami percaya retorik seperti itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan daripada ketua sebuah negara, yang bomnya telah membunuh ratusan ribu orang di seluruh dunia," kata jurucakap Putin Dmitry Peskov, menurut agensi berita negara TASS dan Ria Novosti. - AGENSI

Berita Harian X