Rabu, 16 March 2022 | 11:28am
Presiden AS, Joe Biden. - REUTERS
Presiden AS, Joe Biden. - REUTERS

Biden bakal umum bantuan AS$800 juta kepada Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, bakal mengumumkan peruntukan AS$800 juta (RM3.3 blion) dalam bantuan keselamatan baharu kepada Ukraine, kata seorang pegawai Rumah Putih, hari ini.

Perkara itu akan diumumkan selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berucap di Kongres AS.

Beliau yang enggan namanya didedahkan berkata, ia menjadikan jumlah bantuan diumumkan pada minggu lalu sahaja berjumlah AS$1 bilion (RM4.21 bilion).

Zelensky dijangka membuat rayuannya untuk mendapatkan lebih banyak bantuan dalam ucapan mayanya kepada Kongres hari ini, ketika beberapa penggubal undang-undang AS mendesak Rumah Putih mengambil tindakan lebih keras terhadap pencerobohan Russia.

Biden sudah meluluskan bantuan AS$200 juta (RM841 juta) dalam bentuk peralatan ketenteraan tambahan ke Ukraine pada Sabtu lalu.

Ia hadir menerusi peruntukan lebih AS$350 juta (RM1.47 bilion) diluluskan Washington, untuk tujuan peralatan ketenteraan pada 26 Februari lalu - pakej terbesar dalam sejarah AS.

Pegawai Rumah Putih itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai apa yang akan dimasukkan dalam bantuan keselamatan AS$800 juta (RM3.3 juta) yang akan diumumkan nanti.

Namun beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, AS menyediakan lebih 600 peluru berpandu Stinger dan kira-kira 2,600 sistem Javelin ke Ukraine, bersama-sama pelbagai sistem radar, helikopter, pelancar bom tangan, senapang dan peluru, serta peralatan lain.

"AS kekal sebagai penderma tunggal terbesar bantuan keselamatan kepada Ukraine," kata pegawai itu.

Rayuan Zelensky untuk mendapatkan bantuan bagi mempertahankan negaranya daripada serangan maut Russia menjadi semakin terdesak, malah berulang kali menggesa Washington, Kesatuan Eropah (UE) dan NATO untuk mendapatkan perkakasan ketenteraan, termasuk pesawat serta zon larangan terbang.

Biden bagaimanapun menolak zon larangan terbang dan memberi amaran bahawa ia akan mencetuskan perang bencana dengan Russia yang bersenjata nuklear.

Ucapan Zelensky kepada ahli Kongres hari ini adalah yang kedua pada bulan ini sahaja, namun dilihat lebih terdesak berbanding pada 5 Mac, apabila dia meminta pesawat buatan Russia dihantar kepada angkatan tentera udaranya. - AFP

Berita Harian X