Khamis, 10 March 2022 | 8:48am
Contoh pesawat tempur MiG-29 buatan Russia yang sepatutnya dibekalkan Poland kepada Ukraine tetapi dibatalkan pada saat akhir selepas campur tangan Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Contoh pesawat tempur MiG-29 buatan Russia yang sepatutnya dibekalkan Poland kepada Ukraine tetapi dibatalkan pada saat akhir selepas campur tangan Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

AS enggan bekal pesawat tempur kepada Ukraine

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam menegaskan tidak akan membekalkan pesawat tempur kepada Ukraine yang kini diceroboh Russia.

Difahamkan, pihak perisikan AS menilai tindakan itu 'berisiko tinggi', yang boleh meningkatkan lagi ketegangan antara Russia dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sekutu NATO, Poland, mengejutkan Washington kelmarin dengan tawaran terbuka untuk memindahkan jet pejuang MiG-29 buatan Russia ke pangkalan AS di Jerman.

Ia sebagai langkah menambah kekuatan tentera udara Ukraine, di mana Kyiv sudah memohon kepada Barat untuk memperoleh lebih banyak pesawat tempur.

Jurucakap Pentagon, John Kirby, ketika menjelaskan keputusan AS itu, berkata pemindahan MiG-29 akan beri sedikit kelebihan kepada Ukraine berbanding keupayaan Russia, dan menekankan sokongan AS untuk membekalkan senjata jenis lain.

"Komuniti perisikan menilai bahawa pemindahan MiG-29 ke Ukraine mungkin disalah anggap sebagai peningkatan dan boleh mencetuskan reaksi balas Russia, yang mungkin meningkatkan potensi pertembungan ketenteraan dengan NATO.

"Justeru, kami juga menilai yang pemindahan MiG-29 ke Ukraine adalah berisiko tinggi," katanya.

Kirby enggan memberikan butiran terperinci mengenai apa yang secara khusus mendorong kepada penilaian perisikan AS itu.

Walaupun Pentagon menafikan keputusan mengenai tawaran Poland itu akan membawa kepada garis merah baharu, ia menunjukkan tindakan membekalkan Ukraine pesawat tempur adalah pilihan ketenteraan yang perlu dielakkan, sekurang-kurangnya buat masa ini.

AS juga menolak gesaan Kyiv untuk mewujudkan zon larangan terbang ke atas Ukraine, sesuatu yang dikatakan pakar ketenteraan akan sama seperti AS memasuki perang menentang Russia.

Pentagon memperincikan kedudukan AS itu selepas panggilan antara Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan rakan sejawatannya dari Poland, yang mana Austin mengucapkan terima kasih kepada Poland atas sokongannya.

Pentagon berkata, Austin akan ke Brussels minggu depan untuk berbincang dengan rakan sejawatannya di NATO, di mana bantuan kepada Ukraine hampir pasti akan mendominasi perbincangan itu.

Kirby berkata, Tentera Udara Ukraine kini mempunyai skuadron pesawat yang berupaya melaksanakan misi dan tambahan MiG akan memberikan sedikit kelebihan, secara keseluruhan.

"Kami percaya cara terbaik untuk menyokong pertahanan Ukraine adalah dengan memberikan mereka senjata dan sistem yang paling mereka perlukan untuk mengalahkan pencerobohan Russia, terutama anti perisai dan pertahanan udara," katanya. - AGENSI

Berita Harian X