Selasa, 8 March 2022 | 12:11pm
Penunjuk perasaan anti perang ketika protes di Berlin, Jerman. - Foto AFP
Penunjuk perasaan anti perang ketika protes di Berlin, Jerman. - Foto AFP

Barat sukar capai konsensus haramkan gas, minyak Russia

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyatakan sebarang larangan import minyak dan gas Russia susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine harus dilihat dari sudut berbeza berbanding sekutu Barat.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, sumber bahan api sendiri dan tahap kebergantungan yang berbeza antara negara Eropah, menjadi aspek utama berhubung perolehan sumber tenaga Russia.

"Keupayaan dan kapasiti sangat berbeza kerana kami mengimport peratusan minyak yang lebih kecil dari Russia berbanding Eropah selain kami juga mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk mengeluarkan minyak sendiri," kata Psaki.

Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat pada ketika ini oleh Presiden AS, Joe Biden, mengenai pelaksanaan larangan import minyak dan gas dari Russia.

Namun, pada masa sama, penggubal undang-undang Demokrat dan Republikan sedang menyiapkan deraf rang undang-undang bagi mengharamkan import minyak Russia ke AS.

Penunjuk perasaan anti perang memegang sepanduk menggesa sekatan import minyak dan gas Russia bagi memaksa negara itu berhenti menceroboh Ukraine, ketika protes di Berlin, Jerman. - Foto AFP
Penunjuk perasaan anti perang memegang sepanduk menggesa sekatan import minyak dan gas Russia bagi memaksa negara itu berhenti menceroboh Ukraine, ketika protes di Berlin, Jerman. - Foto AFP

Rumah Putih berusaha menyatukan barisan yang sebahagian besarnya sependapat dengan sekutu Barat mengenai sekatan itu tetapi 'retakan' berlaku kerana negara seperti Jerman umpamanya, banyak bergantung kepada gas Russia.

Isu itu dibangkitkan dalam perbincangan sidang video semalam, antara pemimpin AS, Perancis, Jerman dan Britain berhubung konflik Ukraine.

Biden, Emmanuel Macron, Olaf Scholz dan Boris Johnson menegaskan untuk terus meningkatkan tekanan ke atas Russia kerana melakukan pencerobohan tanpa provokasi ke atas Ukraine.

Perancis menegaskan pengukuhan sekatan terhadap Russia dan Belarus yang bersekutu dengan Moscow manakala Britain berkata mereka bersetuju meneruskan tekanan ke atas Russia untuk mengasingkan Putin secara diplomatik dan ekonomi.

Berlin pula memberi tumpuan kepada kebimbangan terhadap bantuan kemanusiaan ke kawasan terkepung.

Semalam, Scholz berkata import tenaga Russia adalah 'penting' kepada kehidupan seharian orang Eropah dan memberi amaran jangan haramkan minyak dan gas Russia kerana ia boleh membahayakan keselamatan bekalan tenaga Eropah.

Biden pula bimbang risiko akibat perpecahan dengan Eropah akan meningkatkan inflasi AS yang sudah pun melambung tinggi dan menjatuhkan kedudukannya dalam kalangan penduduk AS. - AFP

Berita Harian X