Selasa, 8 March 2022 | 10:28am
Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby, pada sidang media di Arlington, Virginia di Amerika Syarikat (AS), terutama mengenai perang Russia-Ukraine. - Foto AFP
Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby, pada sidang media di Arlington, Virginia di Amerika Syarikat (AS), terutama mengenai perang Russia-Ukraine. - Foto AFP

Hampir semua tentera Russia dikerah ke Ukraine

WASHINGTON: Pentagon menambah 500 lagi tentera Amerika Syarikat (AS) di Eropah bagi meningkatkan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ini berikutan tindakan Russia meletakkan hampir semua aset tempurnya di sempadan Ukraine, membayangkan kemungkinan serangan besar-besaran, kata Jabatan Pertahanan AS.

Presiden Russia, Vladimir Putin, terus meningkatkan operasi tentera ketika serangan Russia ke atas orang awam didakwa semakin meningkat dan Moscow juga sedang berusaha untuk merekrut pejuang asing, terutama dari Syria, untuk perang di Ukraine.

Menurut jurucakap Pentagon, John Kirby, pencerobohan itu kini perlahan selepas beberapa kemenangan di selatan Ukraine, sekali gus menyaksikan tentera Russia tidak mencapai sebarang kemajuan ketara sejak beberapa hari kebelakangan ini.

AS mengerahkan 12,000 askar tambahan ke Eropah sejak Februari lalu tetapi Presiden AS, Joe Biden, menegaskan tentera AS tidak akan terbabit dalam konflik dengan tentera Russia di Ukraine.

Hujung minggu lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, mengarahkan kira-kira 500 anggota tentera tambahan ke lokasi di Eropah, khususnya sayap timur NATO untuk menambah pasukan AS yang sudah ada di lokasi.

"Anggota tambahan akan bertindak balas kepada persekitaran keselamatan semasa yang disebabkan oleh pencerobohan tanpa provokasi Russia ke atas Ukraine.

"Ini pasti dapat membantu mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan pencegahan serta pertahanan pakatan NATO memandangkan Russia difahamkan sudah menempatkan lebih 150,000 tentera di sepanjang sempadan Ukraine.

"Putin sudah 'mendapat hampir semua kuasa tempur besar-besaran yang dikumpulkan di dalam Ukraine," kata Kirby.

Pengeboman berlaku di sekitar ibu kota Kyiv, Kharkiv, Chernihiv di utara, Mykolaiv dan Mariupol di selatan memusnahkan rumah, gereja, hospital dan sekolah manakala jumlah mangsa terus meningkat.

"Ini menyebabkan lebih ramai orang awam terbunuh dan cedera. Putin masih mempunyai pilihan di sini, bukan untuk meningkatkan krisis tetapi mencari jalan diplomatik dan menamatkan pencerobohan," kata Kirby.

Dengan kuasa serangan yang sangat besar oleh Putin, Pentagon berkata ia patut diberi perhatian tetapi tidak jelas mengapa perlu untuk membawa masuk pejuang asing. - AFP

Berita Harian X