Ahad, 6 March 2022 | 4:04pm
Orang ramai mengiringi ratusan kenderaan menyertai ‘Konvoi Rakyat’ yang berkumpul di litar lumba Hagerstown Speedway dekat Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi membantah mandat vaksin COVID-19. - Foto REUTERS
Orang ramai mengiringi ratusan kenderaan menyertai ‘Konvoi Rakyat’ yang berkumpul di litar lumba Hagerstown Speedway dekat Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi membantah mandat vaksin COVID-19. - Foto REUTERS

Lebih 1,000 kenderaan serta protes COVID-19 di Washington

WASHINGTON: Lebih seribu trak besar, kenderaan rekreasi (RV) dan kereta berhimpun di pinggir Washington bagi memprotes mandat vaksin COVID-19.

Kumpulan yang digelar sebagai 'Konvoi Rakyat' itu turut mengugut untuk menyerbu bangunan Capitol di ibu negara Amerika Syarikat (AS) jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Konvoi yang dimulakan di California itu berjaya menarik peserta dari sekitar AS sejak dimulakan bulan lalu dan kini menggesa semua sekatan berkaitan pandemik coronavirus ditamatkan termasuk syarat mewajibkan suntikan vaksin.

Protes itu diilhamkan oleh demonstrasi seumpamanya pada awal bulan lalu, yang melumpuhkan bandar Ottawa di Kanada dan kemudian di New Zealand, di mana penunjuk perasaan menyekat akses ke bangunan Parlimen.

Mesej 'Konvoi Rakyat' makin kurang mendapat sambutan sejak beberapa minggu kebelakangan susulan beberapa bandar utama di AS menarik balik mandat vaksin dan sekatan COVID-19 lain.

Jangkitan COVID-19 di negara itu sudah mengakibatkan lebih 950,000 kematian tetapi kes kini semakin berkurangan dengan pemberian vaksin dan rawatan terapeutik.

Menurut seorang saksi ditemui Reuters, lebih 100 trak 18 roda berkumpul bersama kenderaan lain pada petang semalam di Hagerstown Speedway, sebuah litar lumba kira-kira 129 kilometer (km) dari pusat bandar Washington.

Dakwa seorang saksi, pemandu berkenaan terus meletakkan kenderaan di lot letak kereta pagi tadi.

Berdasarkan makluman menerusi satu laman sesawang untuk protes itu semalam, mereka tidak merancang memasuki pusat bandar Washington dan hantaran media sosial menyarankan mereka kekal berada di litar lumba.

Kira-kira setahun lalu, penyokong bekas Presiden AS dari Republikan, Donald Trump, menyerbu bangunan Capitol sehingga mengakibatkan lima orang maut dan mencederakan lebih 100 anggota polis.

Agensi penguatkuasaan undang-undang Persekutuan AS sudah pun menyelaras dengan negeri dan pihak berkuasa tempatan selama beberapa minggu, sebagai persediaan menghadapi ketibaan konvoi berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X