Isnin, 28 Februari 2022 | 4:13pm
Bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat kembali berpagar bersedia bagi tunjuk perasaan ‘Konvoi Rakyat’ anjuran pemandu trak dari serata negara untuk membantah mandat vaksin dan peraturan COVID-19. - Foto EPA
Bangunan Capitol di Washington, Amerika Syarikat kembali berpagar bersedia bagi tunjuk perasaan ‘Konvoi Rakyat’ anjuran pemandu trak dari serata negara untuk membantah mandat vaksin dan peraturan COVID-19. - Foto EPA

Bangunan Capitol AS kembali dihadang, dipagar

WASHINGTON: Pihak berkuasa Persekutuan memasang semula pagar berduri di sekitar bangunan Capitol di Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan menghadapi tunjuk perasaan 'Konvoi Rakyat' disertai pemandu trak.

Selepas rusuhan penyokong bekas presiden AS, Donald Trump, tahun lalu Washington kini lebih bersedia menghadapi protes pemandu trak yang diilhamkan daripada demonstrasi di Kanada menentang sekatan berkaitan pandemik COVID-19.

Ketua Polis Capitol AS, Tom Manger, berkata pihak berkuasa mengambil langkah bagi melindungi ucapan dasar oleh Presiden AS, Joe Biden, yang dijadualkan esok, bagi 'mencegah sebarang gangguan kepada kerja penting Kongres.

Sebelum ini, pagar itu dipasang selepas penyokong Trump merusuh di bangunan Capitol pada 6 Januari 2021, dalam usaha menghalang Kongres secara rasmi memperakui kekalahannya kepada Biden, pada pilihan raya 2020.

Sekumpulan pemandu trak AS memulakan perjalanan merentas desa dari California ke Washington minggu lalu, diilhamkan oleh protes 'Konvoi Kebebasan' di Kanada membantah sekatan COVID-19, yang melumpuhkan Ottawa selama tiga minggu.

Puluhan trak 18 roda, bersama kira-kira 50 pikap dan kenderaan rekreasi, meninggalkan Adelanto, California, kira-kira 130 kilometer di timur laut Los Angeles, Rabu lalu.

'Konvoi Rakyat' itu menuju ke Beltway, sebuah lebuh raya utama mengelilingi ibu kota AS bagi menuntut penamatan keperluan vaksin dan pelitup muka COVID-19.

Pentagon sebelum ini berkata ia meluluskan ratusan anggota Pengawal Kebangsaan dan kenderaan taktikal untuk membantu di pos trafik berikutan protes itu. - REUTERS

Berita Harian X