Jumaat, 25 Februari 2022 | 6:34am
 Foto AGENSI (hiasan)
Foto AGENSI (hiasan)

Kanada lulus vaksin COVID-19 tempatan pertama

MONTREAL: Pihak berkuasa kesihatan Kanada pada Khamis meluluskan vaksin COVID-19 pertama negara itu.

Kelulusan bagi vaksin Covifenz diumumkan firma biofarmaseutikal yang berpangkalan di Quebec City, Medicago dan rakan kongsinya GlaxoSmithKline.

Ini berlaku selepas lebih 90 peratus penduduk dewasa Kanada menerima dua suntikan vaksin lain dengan kira-kira separuh daripada populasi masih belum mendapat suntikan penggalak.

Kelulusan diberikan Health Canada terhadap vaksin Covifenz disifatkan sebagai pencapaian penting bagi Kanada dalam memerangi pandemik itu, kata Ketua Eksekutif Medicago, Takashi Nagao.

Beliau berkata syarikat itu sudah memulakan pengeluaran bagi memenuhi pesanan dengan Ottawa membuat prapesanan sehingga 76 juta dos Covifenz.

Menteri Perindustrian, Francois-Philippe Champagne, berkata pembangunan vaksin itu juga mengembalikan keupayaan biopembuatan Kanada sejak beberapa dekad yang dibuktikan gagal dengan kemunculan pandemik COVID-19.

"Ini adalah vaksin COVID-19 pertama yang sah dibangunkan oleh syarikat berpangkalan di Kanada, dan yang pertama menggunakan teknologi protein berasaskan tumbuhan," menurut satu kenyataan kerajaan.

Ottawa sebelum ini meluluskan enam vaksin COVID lain, termasuk AstraZeneca, Moderna dan Pfizer.

Menurut Health Canada, ujian klinikal menunjukkan vaksin Covifenz dua dos 71 peratus berkesan dalam melindungi orang dewasa berumur 18 hingga 64 tahun daripada jangkitan coronavirus. - AFP

Berita Harian X