Jumaat, 18 Februari 2022 | 1:50pm
Keranda Amir Locke, mangsa kulit hitam yang terbunuh ketika serbuan polis di Minneapolis dibawa ke Shiloh Temple International Ministries. - Foto REUTERS
Keranda Amir Locke, mangsa kulit hitam yang terbunuh ketika serbuan polis di Minneapolis dibawa ke Shiloh Temple International Ministries. - Foto REUTERS

Ratusan berhimpun di Minnesota tuntut keadilan bagi Amir Locke

MINNESOTA: Ratusan orang dijangka berkumpul menuntut keadilan atas kematian lelaki kulit hitam, Amir Locke, yang terbunuh semasa serbuan polis di sini.

Serbuan mengejut yang dikatakan berlaku di sebuah pangsapuri di Minneapolis itu mencetuskan kemarahan umum berikutan perlakuan kasar polis terhadap kaum minoriti di Amerika Syarikat (AS).

Dalam kes Locke, dia ditembak dan dibunuh oleh polis yang memperoleh 'waran geledah tanpa amaran' bagi memeriksa pangsapuri kediamannya dalam siasatan kes pembunuhan, namun dia tidak dinamakan dalam waran itu.

Beberapa hari selepas kematiannya pada 2 Februari lalu, polis mengeluarkan rakaman video serbuan itu yang menunjukkan Locke memegang pistol ketika dia berpusing di bawah selimut di atas sofa selepas dikejutkan oleh pegawai.

Polis berkata dia mengacukan pistol ke arah pegawai sebelum mereka melepaskan tembakan balas, bagaimanapun ia dipertikaikan keluarga Locke.

Kes Locke turut mengingatkan ramai mengenai kematian Breonna Taylor, seorang wanita kulit hitam berusia 26 tahun yang maut dalam kejadian tembak menembak ketika serbuan mengejut di pangsapuri di Kentucky pada 2020.

Dalam kes itu, Taylor bukan suspek yang dicari dalam serbuan geledah itu.

Aktivis hak sivil terkemuka, Paderi Al Sharpton, dijangka berucap pada upacara terbuka perhimpunan bagi Locke di sebuah gereja di Minneapolis.

Kawasan metropolitan itu menjadi perhatian kerana dua pembunuhan berprofil tinggi lelaki kulit hitam menarik perhatian negara dalam tempoh dua tahun lalu.

Upacara penghormatan untuk Locke akan berlangsung di Shiloh Temple International Ministries, gereja yang sama di mana seorang lelaki Afrika-Amerika, Daunte Wright diberi penghormatan yang sama.

Wright maut akibat ditembak dan dibunuh dalam sekatan jalan raya di pinggir bandar berdekatan, pada April tahun lalu.

Kematian Wright berlaku kira-kira setahun selepas pembunuhan George Floyd, yang meninggal dunia apabila seorang pegawai polis Minneapolis menggunakan lututnya untuk menekan leher Floyd ke tanah pada Mei 2020.

Rakaman video kematian Floyd, yang menjadi viral, mencetuskan bantahan di seluruh AS dan serata dunia dengan slogan 'Black Life Matters'.

Protes di pusat bandar Minneapolis kali ini bagi Locke menarik ratusan penunjuk perasaan menuntut keadilan dan penamatan waran geledah tanpa amaran oleh polis.

Aktivis pada tunjuk perasaan itu berkata Locke mempunyai hak untuk memiliki senjata di rumahnya sendiri dan tidak pernah diberi peluang untuk melucutkan senjata ketika polis menyerbu masuk dalam kediamannya tanpa amaran.

Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, mengisytiharkan moratorium ke atas carian sedemikian dan beberapa penggubal undang-undang negeri sedang berusaha untuk meminda undang-undang untuk mengehadkan waran seumpamanya. - REUTERS

Berita Harian X