Khamis, 17 Februari 2022 | 10:20am
Penunjuk perasaan meletakkan sepanduk dan bendera Kanada ketika protes pemandu trak membantah mandat vaksin di luar parlimen di Ottawa. - Foto AFP
Penunjuk perasaan meletakkan sepanduk dan bendera Kanada ketika protes pemandu trak membantah mandat vaksin di luar parlimen di Ottawa. - Foto AFP

Polis beri amaran penunjuk perasaan keluar ibu kota Kanada

OTTAWA: Polis Kanada memberi amaran kepada penunjuk perasaan membantah peraturan COVID-19 di Ottawa selama hampir tiga minggu supaya meninggalkan bandar itu atau berdepan denda, ditahan dan trak mereka dirampas.

Sementara itu, pihak berkuasa persekutuan meneruskan rundingan menamatkan protes secara aman berikutan beberapa sekatan dibuat penunjuk perasaan di kawasan sempadan antara Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

"Anda mesti meninggalkan kawasan itu sekarang," kata polis Ottawa dalam notis yang diedarkan kepada pemandu lori di luar Parlimen.

Menurut kenyataan itu, sesiapa yang menghalang jalan atau membantu orang lain berbuat demikian akan ditangkap dan menghadapi pertuduhan.

Polis juga memberi amaran bahawa sesiapa yang didakwa atau disabitkan bersalah kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi haram itu boleh dikenakan hukuman tambahan berkaitan jenayah dan dihalang daripada memasuki AS.

Semasa notis diedarkan, wartawan AFP melihat ratusan trak terus berada di jalanan sekitar Parlimen dan membunyikan hon secara bertali arus.

Perbuatan itu berterusan walaupun penduduk yang muak dengan bunyi bising dilakukan penunjuk perasaan sudah mendapatkan perintah mahkamah mengenai perkara itu.

"Masih banyak trak yang terus bertahan di kawasan ini, jika ditangkap, saya tidak akan serik dan akan terus kembali," kata pemandu lori, David Shaw, 65, kepada AFP.

Seorang lagi pemandu lori, Jan Grouin, 42, mengecam keputusan Perdana Menteri, Justin Trudeau, awal minggu ini untuk mengisytiharkan darurat dan menyifatkannya 'sedikit keterlaluan', seolah-olah kumpulan pengganas.

Kegagalan mengusir penunjuk perasaan mendesak Trudeau menggunakan Akta Kecemasan, yang memberi kerajaan kuasa baharu yang luas untuk menamatkan bantahan selama berminggu-minggu mereka terhadap sekatan COVID-19.

Tindakan itu adalah yang kedua dalam sejarah di mana Kanada menggunakan kuasa kecemasan ketika berada dalam keadaan aman.

Trudeau memberitahu pemberita pada bahawa polis kini mendapat bantuan daripada pelbagai unit penguatkuasa undang-undang lain dan mereka kini sepatutnya 'boleh mula bertindak'.

"Sudah tiba masanya untuk ini berakhir," katanya, sambil menambah, terpulang kepada polis untuk memutuskan bila dan bagaimana tindakan itu dilaksanakan.

Selasa lalu, Ketua Polis Sementara Ottawa, Steve Bell berkata satu keputusan sudah dicapai.

"Saya percaya kita kini mempunyai sumber dan rakan kongsi untuk memastikan urusan ini diselesaikan dengan selamat," katanya.

Ball menggantikan Peter Sloly yang secara tiba-tiba meletak jawatan selepas berdepan kritikan hebat atas kegagalannya mengusir penunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan itu dikenali sebagai 'Konvoi Kebebasan' pada awalnya bermula dengan pemandu lori memprotes vaksin mandatori COVID-19 sebagai syarat untuk menyeberangi sempadan ke AS.

Namun, kini penunjuk perasaan kini menuntut penamatan semua peraturan kesihatan pandemik.

Pada kemuncaknya, penunjuk perasaan menyekat kawasan di pintu masuk sempadan yang menjadi laluan perdagangan utama merentasi Jambatan Duta antara Windsor, Ontario dan Detroit.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan telah ditangkap dan beberapa kenderaan dirampas semasa operasi polis di sempadan, dan di Coutts, polis persekutuan Alberta mendakwa empat orang terbabit konspirasi membunuh pegawai polis.

Mereka adalah antara 13 yang ditahan dengan membawa senjata termasuk senapang, pistol, perisai badan dan peluru.

Semalam, Sarjan Polis Diraja Kanada, Paul Manaigre, berkata kawasan sempadan terakhir yang disekat, antara Manitoba dan Dakota Utara, AS, akan dibuka tidak lama lagi, selepas penunjuk perasaan bersetuju untuk beredar.

"Tidak lama lagi, mereka akan berada meneruskan perjalanan, hasilnya adalah apa yang kami mahukan tanpa ada sesiapa yang cedera. Kami mahu lebuh raya dibuka, dan perdagangan boleh disambung semula," kata Manaigre kepada pemberita. - AFP

Berita Harian X