Khamis, 17 Februari 2022 | 8:17am
Seorang wanita cuba melepasi timbunan sampah sarap ditinggalkan hujan lebat di Petropolis, Brazil. - Foto EPA
Seorang wanita cuba melepasi timbunan sampah sarap ditinggalkan hujan lebat di Petropolis, Brazil. - Foto EPA

78 maut setakat ini akibat hujan lebat, banjir di Brazil

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 78 orang maut di bandar bersejarah Petropolis di pergunungan Brazil akibat banjir, kata pegawai kerajaan tempatan.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh yang menimbus rumah, membanjiri jalan dan menghanyutkan kereta serta bas.

Terletak di kawasan berbukit tertinggi di Rio de Janeiro, Petropolis, yang dikenali sebagai 'Imperial City', adalah tempat percutian musim panas raja-raja Brazil pada abad ke-19.

Semalam, berlaku runtuhan pada binaan yang menjadi daya tarikan agung di kawasan itu, selepas banjir memusnahkan jalan dan memusnahkan bangunan berciri seni bina Jerman.

Hujan yang melanda kelmarin melebihi purata keseluruhan Taburan bulan Februari.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hilda berasa sedih ketika dia menunggu di jalan berhampiran runtuhan rumahnya yang dikongsi dengan lapan anggota keluarga.

"Saya kehilangan anak saudara saya dan anak perempuannya berusia lima tahun, yang masih belum kami temui.

"Kami tidak menjangkakan tragedi ini. Bandar kita sudah musnah," katanya.

Di kejiranan Morro da Oficina, kira-kira 80 rumah dilanda tanah runtuh, menurut pihak berkuasa yang menjangkakan angka kematian akan meningkat.

Jabatan bomba dan pasukan pertahanan awam tempatan sedang meneruskan kerja menyelamat di kawasan terbabit.

"Keadaan hampir seperti perang ...kereta tergantung pada tiang, kereta terbalik, banyak lumpur dan air masih ada," kata Gabenor Rio de Janeiro, Claudio Castrom kepada pemberita di lokasi.

Dewan Bandar Raya Petropolis mengisytiharkan kawasan itu berkabung selama tiga hari.

Mereka yang terjejas berpindah dibawa ke sekolah dan tempat perlindungan, dengan lebih 300 keluarga terpaksa meninggalkan rumah mereka.

"Air mengalir sangat deras lagi kuat, kemusnahan adalah 100 peratus. Kehidupan kami sudah sukar dengan wabak serta sekatan pergerakan dan kini tragedi ini pula datang," kata seorang peniaga, Henrique Pereira.

Presiden Jair Bolsonaro, dalam perjalanan ke Russia, menerusi ciapan Twitter, meminta menteri untuk membantu Petropolis dan mangsa ribut.

"Kami akan menawarkan bantuan terbaik dan apa yang boleh," kata Bolsonaro kepada pemberita di Moscow, sambil menambah akan mengeluarkan dana persekutuan untuk membantu 'memulihkan keadaan di wilayah itu'.

Sejak Disember lalu, hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di timur laut Brazil termasuk di Sao Paulo.

Ia memaksa penangguhan aktiviti menunai tanaman di wilayah barat tengah negara itu dan memaksa penggantungan operasi perlombongan di negeri Minas Gerais. - REUTERS

Berita Harian X