Rabu, 16 Februari 2022 | 1:53pm
Gambar tular dalam media sosial memaparkan banyak rumah musnah dan kenderaan dihanyutkan arus deras banjir. - Foto Reuters
Gambar tular dalam media sosial memaparkan banyak rumah musnah dan kenderaan dihanyutkan arus deras banjir. - Foto Reuters

Sekurang-kurang 18 maut tanah runtuh, banjir di Brazil

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurang 18 maut akibat tanah runtuh dan banjir susulan hujan lebat di sebuah bandar pelancongan di kawasan pergunungan dekat Rio De Janeiro, semalam.

"Setakat ini, 18 kematian akibat tanah runtuh dan banjir telah disahkan sepanjang tempoh beberapa jam yang lalu," menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Rio De Janeiro dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih 180 anggota bomba dan petugas penyelamat lain dikerahkan ke tempat kejadian di Petropolis, 68 kilometer utara bandar Rio.

Dewan Bandaraya mengisytiharkan 'situasi bencana', manakala gambar tular dalam media sosial memaparkan banyak rumah musnah dan kenderaan dihanyutkan arus deras banjir.

Selain itu, banyak kedai ditenggelami sepenuhnya oleh air banjir yang terus naik di jalanan seluruh bandar bersejarah berkenaan.

Menurut agensi meteorologi MetSul, beberapa kawasan di Petropolis dilaporkan menerima hingga 260 milimeter hujan dalam tempoh kurang enam jam, iaitu melebihi kadar dijangkakan untuk tempoh sepanjang bulan ini.

Pihak berkuasa memaklumkan, hujan paling lebat sudah berlalu, namun hujan pada kadar sederhana dijangka berterusan untuk tempoh beberapa jam lagi.

Presiden, Jair Bolsonaro yang dalam rangka lawatan rasmi ke Russia, dalam kenyataan melalui Twitter berkata pihaknya memantau perkembangan tragedi itu, selain mengarahkan barisan menteri untuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa.

Awal bulan ini, banjir serta tanah runtuh susulan hujan lebat meragut sekurang-kurang 28 nyawa di tenggara Brazil, dengan kebanyakan mangsa di Sao Paulo dan wilayah utara Rio. - AFP

Berita Harian X