Rabu, 16 Februari 2022 | 12:35pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ibu lengkap vaksinasi ketika hamil lahir bayi imuniti kuat

WASHINGTON: Bayi dilahirkan oleh ibu yang lengkap vaksinasi COVID-19 ketika hamil, didapati mempunyai kira-kira 60 peratus kebarangkalian tidak dimasukkan ke hospital akibat virus itu.

Perkara itu didedahkan, semalam, melalui satu kajian baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Kesan perpindahan imuniti menerusi plasenta ketika kehamilan dan penyusuan bayi selepas dilahirkan, telah menjadi hipotesis sebelum ini - namun, ia hanya disokong bukti sebenar kini.

CDC menjalankan satu kajian membabitkan 379 bayi berusia hingga enam bulan, yang dimasukkan ke hospital di 20 pusat pediatrik dalam tempoh antara Julai 2021 hingga Januari lalu.

Pengarang kajian itu meneliti perbezaan kesan vaksinasi COVID-19 membabitkan ibu yang bayi dimasukkan ke hospital akibat wabak berkenaan (176 bayi), berbanding kesan vaksinasi terbabit dalam kalangan ibu yang bayi dimasukkan ke hospital bukan atas sebab jangkitan COVID-19 (203 bayi), sebagai kumpulan kawalan.

Kaedah statistik itu digunakan sebagai percubaan untuk menilai pesakit yang mempunyai ciri serupa, selain lazim dijadikan sandaran apabila tiada pendekatan beretika lain untuk melaksanakan ujian klinikal rawak.

"Bayi berusia kurang enam bulan yang ibu mereka menerima suntikan vaksin, didapati mempunyai 61 peratus kebarangkalian untuk tidak dimasukkan ke hospital akibat COVID-19," kata penyelidik CDC, Dana Meaney-Delman, dalam temu bual dengan media menerusi telefon.

Malah, sebanyak 84 peratus bayi yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus itu didapati dilahirkan ibu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 ketika mengandung.

Seorang bayi meninggal dunia ketika kajian itu dijalankan pula dikesan dilahirkan ibu yang tiada suntikan vaksin berkenaan.

"Asasnya, vaksinasi ketika mengandung adalah amat penting bagi melindungi bayi," kata Meaney-Delman.

Kajian itu turut mendapati tahap perlindungan dua dos vaksin adalah lebih tinggi hingga mencecah 80 peratus, sekiranya suntikan itu diambil oleh ibu ketika dalam fasa lanjut kehamilan berbanding sewaktu kandungan pada peringkat lebih awal, iaitu hanya 32 peratus.

Meskipun ia selari kesan penyusutan tahap perlindungan vaksin dalam tempoh beberapa bulan selepas suntikan diberikan, Meaney-Delman berkata, keperluan mendapatkan pelalian COVID-19 kekal penting pada sebarang fasa kehamilan bagi melindungi ibu dan bayi.

"Jika seorang wanita yang berada dalam trimester pertama kehamilan serta lengkap vaksinasi, ibu itu layak menerima dos penggalak pada fasa lebih lanjut kehamilan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, adalah pramatang (terlalu awal) untuk CDC mengesyorkan dos penggalak, khususnya dalam kalangan ibu mengandung.

Antara kekangan dihadapi kajian itu ialah ia bermula ketika peringkat awal pemberian vaksin dan tidak mencakupi ibu yang menerima suntikan imunisasi sebelum mengandung.

Justeru, pengarang kajian itu berkata, aspek berkenaan boleh dijadikan topik untuk penilaian lanjut pada masa depan. - AFP

Berita Harian X