Rabu, 16 Februari 2022 | 10:19am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sekurang-kurang 10 maut tragedi kapal nelayan karam

MONTREAL: Sekurang-kurang 10 nelayan maut dan 11 lagi dilaporkan hilang apabila sebuah kapal pukat tunda dari Sepanyol karam dalam laut yang bergelora di timur Kanada, semalam.

Keadaan cuaca yang buruk menyebabkan peluang dilihat semakin tipis untuk menemui mangsa terselamat dalam insiden berkenaan.

Menurut pegawai, ada 24 kru di atas kapal terbabit ketika ia karam kira-kira 250 batu nautika timur Newfoundland, dan usaha diteruskan untuk mencari serta menyelamat baki mangsa meskipun berdepan kekangan cuaca buruk.

Terdahulu, Pusat Koordinasi Penyelamatan Bersama Kanada (JRCC) memaklumkan tujuh mayat telah ditemui, manakala tiga mangsa berjaya diselamatkan - dari sebuah bot kecemasan di Atlantik, menurut pegawai Sepanyol.

"Dengan dukacitanya JRCC Hfx mengesahkan tiga lagi mayat ditemui dalam insiden kapal nelayan yang karam berkenaan," ciap operasi Halifax bawah pusat itu kemudiannya.

Keadaan cuaca buruk meliputi laut amat bergelora, angin kencang serta jarak penglihatan yang terhad, merumitkan operasi mencari dan menyelamat.

Selain itu, hari beransur gelap dengan suhu terus menurun dikhuatiri mengurangkan lagi peluang menemui mangsa yang terselamat.

Kementerian Pengangkutan Sepanyol mengenal pasti kru kapal berkenaan membabitkan 16 warga Sepanyol, Peru (lima) dan Ghana (tiga).

Menurut kementerian itu, kapal nelayan terbabit dikenali sebagai Villa de Pitanxo dengan ukuran 50 meter dan berpangkalan di sebuah pelabuhan di Galicia.

Katanya, kapal berkenaan membuat dua panggilan kecemasan pada jam 5.24 pagi di Madrid.

Kira-kira lima jam kemudian, sebuah lagi kapal nelayan Sepanyol yang berada di kawasan terbabit mengesan dua bot kecemasan dengan sebuah daripadanya membawa tiga mangsa terselamat dan beberapa mayat.

Anggota penyelamat kemudian menjumpai empat lagi mayat.

"Tiga mangsa terselamat berada dalam keadaan kejutan hipotermia berikutan suhu air laut yang sangat dahsyat, amat rendah," kata wakil kerajaan pusat Sepanyol di wilayah Galicia, Maica Larriba, melalui siaran radio awam.

Beliau berkata, mangsa yang terselamat kemudian dibawa keluar menggunakan sebuah helikopter pengawal pantai Kanada, sementara anggota penyelamat turut menemui dua lagi bot kecemasan yang kosong.

Pasukan penyelamat Kanada berharap mereka berupaya menjumpai lebih ramai mangsa yang terselamat dalam insiden itu walaupun berdepan keadaan cuaca buruk.

"Kejayaan tiga mangsa ditemui terselamat dalam sebuah bot kecemasan, memberi sinar harapan berkemungkinan mangsa lain dapat mengambil langkah sama ketika kapal itu karam," kata Brian Owens daripada JRCC kepada AFP.

Beliau berkata, pasukan penyelamat Kanada menggerakkan beberapa aset termasuk helikopter, pesawat tentera, kapal pengawal pantai serta beberapa bot bagi membantu operasi mencari dan menyelamat kru kapal itu yang masih hilang.

"Cuaca ketika ini amat mencabar bagi operasi pencarian. Kita berdepan ombak setinggi kira-kira empat meter dan jarak penglihatan terhad kepada satu per empat batu nautika," katanya.

Setakat ini, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti. - AFP

Berita Harian X