Selasa, 15 Februari 2022 | 7:38am
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada sidang media. - Foto AFP
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada sidang media. - Foto AFP

Kanada akan guna Akta Darurat tangani tunjuk perasaan

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau akan mengaktifkan Akta Darurat 1988 bagi menangani demonstrasi yang menutup pergerakan rentas sempadan dan melumpuhkan sebahagian ibu kota.

"Sekatan menjejaskan ekonomi kita dan keselamatan awam. Kita tidak boleh berdiam diri daripada terus membenarkan kegiatan berbahaya dan haram untuk terus berleluasa.

"Meskipun usaha terbaik sudah dilakukan, jelas bahawa ia memberi tamparan hebat kepada kemampuan pihak penguat kuasa undang-undang dalam melaksanakan perundangan secara berkesan," katanya pada sidang media.

Kekesalan rakyat Kanada terus memuncak apabila pelbagai pihak menyifatkan pendekatan yang digunakan polis terhadap peserta demonstrasi di pinggir bandar Windsor, Ontario dan di ibu kota, iaitu Ottawa sebagai permisif atau tidak keras, sekali gus menyaksikan siri bantahan terus berlarutan memasuki minggu ketiga ketika ini.

Di Ottawa, orang ramai bertindak menyekat kemasukan kenderaan yang ingin menyertai demonstrasi di bandar terbabit pada hujung minggu lalu, selepas polis dilihat gagal memainkan peranan mereka.

Peserta demonstrasi membina sekatan di Ambassador Bridge, iaitu laluan perdagangan penting menghala ke Detroit, Amerika Syarikat untuk tempoh enam hari sebelum polis berjaya menyuraikan kumpulan terbabit, kelmarin.

Demonstrasi 'Konvoi Kebebasan' dicetuskan oleh pemandu lori warga Kanada yang membantah kewajipan pengambilan vaksin atau menjalani kuarantin sekiranya ingin melakukan pergerakan rentas sempadan.

Tentangan itu dilihat semakin meruncing apabila orang ramai menyatakan bantahan terhadap segenap dasar Trudeau, meliputi sekatan pandemik COVID-19 sehingga ke cukai karbon.

Akta Darurat 1988 membenarkan kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula segala perundangan di peringkat wilayah, selain boleh meluluskan penggunaan pendekatan khas sementara bagi menjamin aspek keselamatan.

Perundangan itu hanya pernah digunakan sekali sebelum ini, iaitu pada 1970 oleh mendiang ayah Trudeau, yang juga bekas Perdana Menteri, Pierre Trudeau.

Semalam, empat pemimpin utama wilayah, iaitu Alberta, Quebec, Manitoba dan Saskatchewan, membantah rancangan untuk menguatkuasakan Akta Darurat 1988, dengan menyifatkan bahawa tiada keperluan untuk mengambil langkah sedemikian.

Mengikut Perlembagaan, Parlimen Kanada perlu meluluskan penggunaan Akta Darurat 1988 dalam tempoh tujuh hari, selain mempunyai kuasa untuk menarik balik perundangan terbabit. - REUTERS

Berita Harian X