Isnin, 14 Februari 2022 | 11:06am
Anggota polis bertindak mengosongkan laluan di Jambatan Duta di Windsor. - Foto AFP
Anggota polis bertindak mengosongkan laluan di Jambatan Duta di Windsor. - Foto AFP

Polis Kanada kosongkan jambatan, Ottawa masih lumpuh

WINDSOR: Polis Kanada mengosongkan laluan di jambatan utama di sempadan Amerika Syarikat (AS) pada Ahad yang dipenuhi penunjuk perasaan menggunakan trak bagi membantah sekatan COVID-19.

Laluan itu dikosongkan selepas polis bertindak menunda kenderaan di atas jambatan itu serta menahan beberapa individu bagi mengekang pergerakan kumpulan itu, yang turut melumpuhkan pusat bandar Ottawa.

Datuk Bandar Windsor, Drew Dilkens, menyifatkan perkara itu sebagai pengakhiran kepada krisis ekonomi nasional di Jambatan Duta.

"Laluan merentasi sempadan akan dibuka semula apabila keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa AS yang menggesa penyelesaian segera berikutan halangan penunjuk perasaan memberi kesan pada industri automotif kedua-dua negara, memuji langkah itu dan berharap jambatan itu dibuka segera.

Penasihat keselamatan nasional Rumah Putih, Liz Sherwood-Randall, berkata pegawai AS dan Kanada bersetuju dengan keperluan melaksanakan tindakan yang 'pantas, kukuh dan menyekat sebarang halangan pada masa depan'.

Setakat tengah hari Ahad, polis masih mengepung kawasan itu, dengan penunjuk perasaan masih berkumpul berhampiran jambatan berkenaan dan polis memberi amaran akan terus membuat tangkapan.

Tunjuk perasaan itu mencetuskan beberapa protes sama di beberapa negara lain, termasuk di Perancis, Belanda, Switzerland, Australia dan New Zealand, dengan beberapa pemandu trak AS merancang mengadakan protes bulan depan.

Sepanjang Ahad, ribuan penunjuk perasaan masih melumpuhkan ibu negara Kanada, dan Menteri Keselamatan Awam dan Kesiapsiagaan Kecemasan, Bill Blair, memaklumkan kesabaran pihaknya semakin di penghujung.

"Cukuplah. Situasi ini perlu berakhir. Situasi di Ottawa tidak boleh diterima dan keterlaluan. Polis perlu memulihkan keadaan dan menguatkuasakan undang-undang di bandar ini," katanya kepada CBC.

Katanya, penutupan sempadan itu memberi kesan yang amat besar kepada pekerja dan syarikat di Kanada.

Beliau menegaskan kerajaan pusat yang bekerjasama dengan pihak berkuasa daerah, sedia untuk melakukan apa sahaja yang perlu untuk kembali mengawal keadaan. - AFP

Berita Harian X