Ahad, 6 Februari 2022 | 12:34pm
Russia dilaporkan menambah jumlah tenteranya di sempadan Ukraine. FOTO AFP
Russia dilaporkan menambah jumlah tenteranya di sempadan Ukraine. FOTO AFP

Perisikan AS percaya Russia bersedia serang Ukraine

WASHINGTON: Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa Russia sedang meningkatkan persediaannya untuk melakukan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.

Pegawai AS berkata, penilaian perisikan juga mendapati Russia kini meletakkan 70 peratus daripada kekuatan tentera yang diperlukan untuk melakukan serangan.

Russia setakat ini dilaporkan menempatkan 110,000 tentera di sepanjang sempadannya dengan Ukraine tetapi perisikan AS tidak menentukan sama ada Presiden Vladimir Putin benar-benar membuat keputusan untuk menyerang.

Pegawai memberi amaran tentera Russia yang ditempatkan di sempadan Ukraine bertambah pada tahap yang mampu memberikan Putin kekuatan diperlukan untuk menyerang pada skala penuh, membabitkan iaitu kira-kira 150,000 tentera menjelang pertengahan bulan ini.

Katanya, Putin juga mahu mempunyai pilihan sama ada melakukan pencerobohan terhad di wilayah Donbas yang pro-Russia di Ukraine kepada serangan berskala penuh dan habis-habisan.

"Jika Russia memilih untuk melakukan serangan berskala penuh, tentera boleh menawan ibu kota Kiev dan menggulingkan Presiden Volodymyr Zelensky dalam masa 48 jam.

"Serangan boleh menyebabkan 25,000 hingga 50,000 orang awam terbunuh, termasuk 5,000 hingga 25,000 askar Ukraine dan 3,000 hingga 10,000 tentera Russia.

"Ia juga boleh mewujudkan kumpulan pelarian antara satu hingga lima juta orang, terutamanya ke Poland," kata pegawai itu.

Bagaimanapun, Moscow tetap menafikan Russia merancang untuk menyerang Ukraine.

Kontinjen pertama tentera AS tiba di Poland semalam, selepas Presiden Joe Biden memutuskan untuk menghantar tentera bagi melindungi negara anggota NATO daripada sebarang pencerobohan.

Diplomat pelbagai negara dilaporkan sedang bekerja keras untuk memujuk Russia menarik tenteranya kembali dari sempadan Ukraine. - AFP

Berita Harian X