Jumaat, 4 Februari 2022 | 3:54pm
Polis AS menyiarkan rakaman yang menunjukkan pegawai menembak lelaki kulit hitam. - Foto AGENSI
Polis AS menyiarkan rakaman yang menunjukkan pegawai menembak lelaki kulit hitam. - Foto AGENSI

Polis AS siar rakaman video polis tembak lelaki kulit hitam

WASHINGTON: Pihak berkuasa di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) semalam menyiarkan video kamera badan yang menunjukkan polis menembak seorang lelaki Afrika-Amerika berusia 22 tahun.

Menurut polis di bandar itu, tempat di mana lelaki berkulit hitam, George Floyd dibunuh pada 2020, Amir Locke ditembak Rabu lalu oleh pegawai yang melaksanakan waran geledah di pangsapuri yang didiaminya, selepas Locke mengeluarkan pistol dari bawah selimut.

Masa antara pegawai itu masuk dan tembakan yang dilepaskan adalah kurang daripada sepuluh saat.

Locke disahkan meninggal dunia di hospital.

Akhbar tempatan, Star Tribune melaporkan, Locke tidak dinamakan dalam waran geledah, namun dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek dalam siasatan kes pembunuhan.

Peguam keluarganya dalam satu kenyataan semalam berkata, Locke 'memiliki senjata api secara sah' dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Ibunya memberitahu Star Tribune, "Kami mahukan keadilan untuk anak kami."

Dalam video berkenaan, seorang pegawai kelihatan menggunakan kunci untuk membuka pintu dan kemudian sekumpulan pegawai masuk sambil menjerit 'Polis, waran geledah!'.

Locke yang ketika itu berada di atas sofa, mula bangun dari bawah selimut, dengan pistol di tangannya, ketika polis melepaskan tembakan.

Keluarganya kekal menggunakan khidmat peguam, Ben Crump, yang sebelum ini mewakili ramai warga kulit hitam yang menjadi mangsa keganasan polis, termasuk George Floyd dan Breonna Taylor, yang mana pembunuhan mereka pada 2020 mencetuskan protes di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, Crump dijadual mengadakan sidang media secara maya bersama keluarga Locke pada pagi ini. - AFP

Berita Harian X