Jumaat, 4 Februari 2022 | 11:53am
Gambar fail menunjukkan kakitangan Pfizer Inc memeriksa kotan mengandungi pil rawatan COVID-19, Paxlovid, di pusat agihan di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS
Gambar fail menunjukkan kakitangan Pfizer Inc memeriksa kotan mengandungi pil rawatan COVID-19, Paxlovid, di pusat agihan di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat (AS). - Foto REUTERS

Harga rawatan COVID-19 selari dengan manfaat diperoleh pesakit

WASHINGTON: Harga ubat untuk merawat COVID-19 bagi yang berisiko menghidap penyakit serius 'diselaraskan dengan munasabah' dengan manfaat diperoleh pesakit.

Perkara itu terkandung dalam laporan pertubuhan penyelidikan penetapan harga ubat Institut Kajian Klinikal dan Ekonomi (ICER)

Agensi itu menilai dua pil antiviral, molnupiravir keluaran Merck & Co dan Paxlovid keluaran Pfizer Inc yang dibenarkan baru-baru ini serta sotrovimab, ubat intravena antibodi monoklonal dibangunkan oleh GlaxoSmithKline Plc dan Vir Biotechnology Inc.

Tiga rawatan ubat itu diluluskan atas dasar kecemasan untuk mereka dijangkiti COVID-19 ringan hingga sederhana, namun dianggap berisiko penyakit bertambah serius.

Ia kini dibeli oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan sedang diedarkan secara percuma kepada penyedia penjagaan kesihatan di negara itu.

Kerajaan AS membayar kira-kira AS$530 (RM2,214) untuk rawatan lima hari Paxlovid dan AS$700 (RM2,924) bagi setiap rawatan lima hari molnupiravir.

Sementara itu, bayaran AS$2,100 (RM8,773) dikenakan untuk rawatan sotrovimab, satu-satunya rawatan antibodi yang terbukti berkesan terhadap varian Omicron yang kini dominan.

Dalam ujian klinikal, ICER berkata molnupiravir mengurangkan kadar kemasukan ke hospital untuk pesakit berisiko tinggi sebanyak 30 peratus, berbanding 88 peratus pengurangan risiko untuk Paxlovid dan 79 peratus untuk sotrovimab.

"Pada masa ini, penjajaran harga dan faedah yang ditawarkan kelihatan munasabah," kata Presiden ICER, Steve Pearson, kepada Reuters.

Ubat Pfizer dan Merck boleh dibawa ke rumah manakala rawatan antibodi GSK pula perlu diuruskan secara intravena di hospital atau pusat rawatan.

ICER turut menganalisis keberkesanan kos fluvoxamine, sejenis pil generik berusia 40 tahun yang digunakan untuk merawat keadaan seperti Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) dan kemurungan dengan kos kira-kira AS$10 (RM41) untuk rawatan 10 hari.

Pada Disember lalu, penyelidik dari Universiti Minnesota memohon kebenaran kecemasan fluvoxamine untuk pesakit COVID-19 berisiko tinggi.

Ini berikutan kajian menunjukkan bahawa ubat anti-kemurungan yang turut mempunyai ciri anti-radang itu mampu mengurangkan kadar kemasukan ke hospital bagi pesakit COVID-19 sehingga 32 peratus.

ICER menggunakan formula berusia berdekad lamanya yang digelar 'tahun kualiti kehidupan terlaras' (QALY), yang mengimbangi kos rawatan bagi memastikan kesihatan baik pesakit selama setahun kesihatan, untuk penilaian yang saksama.

Melalui formula itu, ICER berkata fluvoxamine menawarkan nilai terbaik pada AS$6,000 (RM25,068) bagi setiap QALY yang diperoleh manakala Paxlovid di tempat kedua pada AS$18,000 (RM75,204).

Ini diikuti oleh molnupiravir pada AS$55,000 (RM229,790) dan sotrovimab pada AS$69,000 (RM288,282).

Pearson berkata, wabak coronavirus mempunyai banyak 'bahagian yang bergerak' dan jika risiko kemasukan ke hospital akibat jangkitan Omicron atau varian baru masa depan terbukti lebih rendah, analisis ICER juga akan berubah.

Tambah ICER, analisis itu hanya terpakai bagi penggunaan ubat untuk pesakit berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 yang teruk.

Sebaliknya, jika rawatan digunakan dalam kalangan penduduk berisiko rendah, keberkesanan kos mereka akan berkurangan dengan ketara.

ICER turut merancang untuk menerima ulasan awam mengenai deraf yang diterbitkan dan mengeluarkan laporan bukti dikemas kini pada akhir Mac ini. - REUTERS

Berita Harian X