Khamis, 3 Februari 2022 | 8:00am
Penunjuk perasaan berdiri atas trak bagi membantah peraturan mandat vaksin COVID-19 kepada pemandu trak untuk merentasi sempadan Kanada - Amerika Syarikat. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan berdiri atas trak bagi membantah peraturan mandat vaksin COVID-19 kepada pemandu trak untuk merentasi sempadan Kanada - Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Pemandu trak disyaki bawa senjata protes anti vaksin

OTTAWA: Polis di sini mengesyaki terdapat pemandu trak yang terbabit dengan protes anti vaksin sehingga melumpuhkan ibu negara Kanada, membawa senjata api.

Ketua Polis Ottawa, Peter Sloly, berkata pihaknya mempunyai petunjuk mengenai ada di kalangan mereka yang menyertai tunjuk perasaan itu lebih seminggu lalu.

Beliau berkata, perkara itu membimbangkan kerana jika kerajaan mula mengerahkan tenteranya maka ia akan mencetuskan risiko besar.

"Terdapat bukti 'unsur signifikan' dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membiayai dan menganjurkan protes berkenaan," katanya dalam satu taklimat.

Beliau berkata, puluhan pemandu trak menyertai protes berkaitan mandat vaksin COVID-19, menghalang laluan pusat dekat bandar itu selama enam hari.

Penduduk semakin berang dengan tindakan polis yang didakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Penunjuk perasaan berkata, mereka tidak berhasrat untuk bersurai sehingga kerajaan memansuhkan mandat vaksin.

Polis menolak untuk menamatkan tunjuk perasaan kerana bimbang terdapat risiko yang boleh memburukkan lagi ketegangan.

Menurut polis, pihaknya sedang menyiasat laporan kesalahan jenayah termasuk jenayah kebencian dan merosakkan harta awam selain membuat tiga tangkapan setakat ini.

"Kami melihat setiap satu pilihan termasuk bantuan ketenteraan.

"Mencampurkan mereka ke dalam populasi di pusat bandar semasa demostrasi yang tidak menentu...mungkin dapat mengurangkan beberapa risiko dan boleh mewujudkan serta meningkatkan risiko besar lain," kata Sloly.

Tunjuk perasaan itu diadakan bagi memaksa kerajaan parti Liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau, untuk memansuhkan mandat vaksin terhadap pemandu lori rentas sempadan.

Sejak itu, ia bertukar menjadi gerakan anti-Trudeau yang lebih bersifat populis.

Sementara itu, Trudeau pada Isnin berkata rakyat Kanada meluat dengan tingkah laku segelintir penunjuk perasaan dan beliau berikrar tidak gentar dengan tekanan itu. - REUTERS

Berita Harian X