Isnin, 31 Januari 2022 | 9:34am
Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) duduk di jalan sambil dikawal polis selepas dipukul penunjuk perasan di bandar Iquique, Chile. - Foto EPA
Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) duduk di jalan sambil dikawal polis selepas dipukul penunjuk perasan di bandar Iquique, Chile. - Foto EPA

Kem pelarian dimusnahkan dalam protes anti-PATI

SANTIAGO: Penunjuk perasaan berarak dekat sebuah bandar di Chile semalam, membantah isu imigresen dan jenayah dilakukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beberapa kumpulan protes turut bertindak ganas dengan memusnahkan harta benda kem PATI di jalanan.

Ia berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu berhubung isu kawalan sempadan.

Imej menunjukkan penunjuk perasaan yang kebanyakannya membawa bendera Chile, merosakkan struktur khemah dan peralatan tempat tidur di bandar utara Iquique.

Ke seumpamanya pernah berlaku pada September lalu apabila beberapa kem dibakar oleh penunjuk perasaan yang berang.

Sekatan susulan penularan pandemik COVID-19 sejak beberapa tahun lalu menyaksikan ramai pelarian dari Venezuela dan tempat lain cuba untuk sampai ke Chile iaitu salah negara terkaya di rantau berkenaan.

Namun, hasrat mereka terbantut kerana berlaku tunjuk perasaan berhubung isu ketidaksamaan.

Ungkapan seperti 'Ini tidak boleh diteruskan' adalah antara gesaan dibangkitkan penunjuk perasaan, seperti mana tertera pada sepanduk yang mereka bawa dalam perarakan disertai ribuan orang.

Mereka mendakwa berlaku peningkatan kemasukan PATI, sekali gus menyebabkan peningkatan jenayah.

Media tempatan melaporkan, kumpulan penunjuk perasaan menyerang seorang PATI lelaki.

Beberapa video yang dimuat naik di rangkaian media sosial menunjukkan lelaki berkenaan terbaring atas jalan di keliling anggota polis sementara penunjuk perasaan mengibarkan bendera Chile dan memegang periuk sambil menjerit kepada mangsa.

Tunjuk perasaan itu berlaku selepas sebuah kumpulan dalam kalangan PATI dari Venezuela sebelum ini menyerang anggota polis di pusat pemeriksaan iaitu tempat mereka ditahan.

Penunjuk perasaan di media sosial turut menggesa tindakan segera diambil di bandar berkenaan rentetan isu sama.

Isu imigresen dan jenayah adalah kebimbangan pengundi terbesar dalam pilihan raya presiden pada tahun lalu, yang dimenangi oleh Gabriel Boric, 35.

Beliau seorang penggubal undang-undang berhaluan kiri dan bekas ketua tunjuk perasaan pelajar yang dilantik sebagai Presiden Chile pada Mac lalu. - REUTERS

Berita Harian X