Isnin, 31 Januari 2022 | 7:58am
Orang ramai menggunakan jengkaut untuk meredah banjir di Caieiras, Brazil. - Foto REUTERS
Orang ramai menggunakan jengkaut untuk meredah banjir di Caieiras, Brazil. - Foto REUTERS

Hujan lebat ragut 61 nyawa di Brazil

SAO PAULO: Hujan lebat di Brazil sejak Jumaat lalu hingga semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 61 nyawa, kata pihak berkuasa.

Menurut laporan terkini, 18 maut di Sao Paulo, 24 di Bahia dan 19 di Minas Gerais, ketika bencana alam antara yang terburuk pernah dialami negara itu

"Sejak Jumaat lalu, kesan akibat bencana alam ini meragut 18 nyawa termasuk tujuh kanak-kanak dan menyebabkan lebih 500 orang kehilangan tempat tinggal," menurut Pasukan Pertahanan Awam kerajaan negeri Sao Paulo.

Gabenor Joao Doria, selepas tinjauan ke kawasan bencana, mengumumkan peruntukan 15 juta reales (RM114 juta) bagi membantu 10 bandar paling terjejas dan 645 daerah di negeri berpenduduk paling padat di Brazil, dengan 46 juta penduduk.

Doria juga menyampaikan salam takziah dan simpati kepada 18 keluarga mangsa yang terbunuh.

Daripada jumlah itu, 11 menemui ajal semalam selepas tanah runtuh menimbus beberapa rumah di kawan bandar dan pedalaman negeri, lapor media tempatan.

Menurut Jabatan Pertahanan Awam, sembilan lagi mangsa cedera dan masih ada lima lagi mangsa hilang.

Sebuah balai polis dan jejambat di daerah Franco da Rocha turut ditimbus tanah runtuh.

Tanah runtuh di Embu das Artes menyebabkan seotang wanita terbunuh bersama dua anak berusia empat dan 21 tahun.

Hujan lebat dilaporkan di bandar Sao Paulo yang mempunyai 12 juta penduduk tetapi tiada musibah besar dilaporkan.

Jabatan Pertahanan Awam berkata berlaku banjir, pokok tumbang, dinding runtuh dan tanah runtuh akibat hujan lebat.

Brazil terjejas teruk akibat beberapa bencana alam sejak musim hujan bermula Oktober lalu.

Di utara negeri Bahia, 24 orang dilaporkan maut dan 19 kehilangan nyawa di negeri Minas Gerais, di mana ribuan turut kehilangan tempat tinggal. - REUTERS

Berita Harian X