Khamis, 27 Januari 2022 | 10:42am
Foto AFP
Foto AFP

Moderna mulakan ujian klinikal dos penggalak khusus Omicron

WASHINGTON: Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna memulakan ujian klinikal dos penggalak vaksin direka khusus untuk memerangi varian Omicron.

Ujian membabitkan 600 individu dewasa dengan separuh daripadanya menerima dua dos vaksin COVID-19 Moderna sekurang-kurangnya enam bulan lalu, dan separuh daripadanya menerima dua dos ditambah dos penggalak.

Suntikan penggalak yang menyasarkan Omicron secara khusus akan dinilai sebagai dos ketiga dan keempat.

Syarikat itu juga melaporkan keberkesanan dos penggalak yang dibenarkan terhadap Omicron.

Menurutnya, enam bulan selepas suntikan penggalak, tahap antibodi peneutralan terhadap Omicron dikurangkan sebanyak enam kali daripada puncak yang diperhatikan 29 hari selepas suntikan tetapi kekal dikesan dalam semua peserta.

Data itu diperoleh dengan mengkaji darah 20 orang yang menerima suntikan penggalak 50 mikrogram, separuh daripada jumlah dua suntikan pertama.

"Kami yakin dengan ketahanan antibodi terhadap Omicron pada enam bulan selepas penggalak dibenarkan," kata Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel dalam kenyataan itu.

Kenyataan Moderna dibuat sehari selepas pesaing, Pfizer dan BioNTech berkata mereka mula mendaftar untuk ujian klinikal untuk vaksin khusus Omicron.

Kedua-dua vaksin adalah berdasarkan teknologi RNA messenger, yang menjadikannya agak mudah untuk mengemas kini mengikuti mutasi khusus untuk varian baharu.

Beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, telah mula melihat penurunan dalam kes yang berkaitan dengan gelombang jangkitan disebabkan Omicron, varian paling mudah menular yang dikesan setakat ini, tetapi bilangan jangkitan di seluruh dunia terus meningkat. - AFP

Berita Harian X