Rabu, 26 Januari 2022 | 2:17pm
Foto yang diedar oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat menunjukkan sebuah kapal terbalik pada jarak kira-kira 45 batu nautika di timur Fort Pierce, Florida. - Foto AFP
Foto yang diedar oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat menunjukkan sebuah kapal terbalik pada jarak kira-kira 45 batu nautika di timur Fort Pierce, Florida. - Foto AFP

39 dikhuatiri hilang, bot terbalik di Pantai Florida

HOUSTON: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian bot terbalik di Pantai Timur Florida, kelmarin.

Menurut laporan Agensi Anadolu, seramai 39 mangsa dipercayai hilang.

Pegawai Pengawal Pantai berkata, seorang mangsa diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian pagi kelmarin pada jarak kira-kira 72 kilometer (km) di timur Fort Pierce Inlet, iaitu 217km di utara Miami.

Mangsa yang terselamat berpaut pada kapal yang terbalik ketika mereka ditemui.

"Mangsa yang terselamat itu memberitahu mereka meninggalkan Bimini, Bahamas bersama 39 orang yang lain pada malam Sabtu lalu dan berdepan cuaca buruk menyebabkan kapal itu terbalik.

"Menurutnya, tiada siapa yang memakai jaket keselamatan," kata Pengawal Pantai dalam satu kenyataan.

Bimini terletak 80km di timur Miami di Lautan Atlantik.

Pasukan penyelamat kini sedang melakukan tinjauan di kawasan terbabit melalui udara dan air dalam usaha mencari mangsa yang terselamat yang kini sudah hilang di laut selama tiga hari.

Pengawal Pantai mengesyaki ia adalah kegiatan penyeludupan manusia. - BERNAMA

Berita Harian X