Rabu, 26 Januari 2022 | 1:12pm
Lebih 10 juta kanak-kanak di AS diuji positif COVID-19 sejak penularan wabak itu. - Foto Agensi
Lebih 10 juta kanak-kanak di AS diuji positif COVID-19 sejak penularan wabak itu. - Foto Agensi

COVID-19: Kes kalangan kanak-kanak AS rekod lebih 10 juta

WASHINGTON: Lebih 10 juta kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) diuji positif COVID-19 sejak penularan wabak itu, menurut laporan terkini Akademi Pediatrik Amerika (AAP) dan Persatuan Hospital Kanak-kanak.

Kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak meningkat secara mendadak akibat varian Omicron, lapor agensi berita Xinhua.

Sebanyak 10,603,034 kes COVID-19 membabitkan kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara setakat 20 Januari lalu dan jumlah itu menyumbang kepada 18.4 peratus daripada keseluruhan kes, menurut laporan yang diterbitkan pada Isnin.

Lebih 1.1 juta kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan pada minggu lalu, iaitu hampir lima kali ganda berbanding musim sejuk lalu, menurut AAP.

"Terdapat keperluan mendesak untuk mengumpul lebih banyak data khusus berdasarkan umur untuk menilai tahap penyakit serta potensinya bagi jangka masa panjang.

"Penting untuk kita sedar bahawa terdapat kesan segera COVID-19 terhadap kesihatan kanak-kanak, tetapi sangat penting untuk kita kenal pasti dan tangani kesan berpanjangan terhadap fizikal, mental dan kesejahteraan sosial generasi kanak-kanak ini," kata laporan itu.

Sementara itu, lebih 91,000 kanak-kanak dimasukkan ke hospital sejak Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS mula merekodkan data mulai 1 Ogos 2020.

Negara itu menyaksikan peningkatan mendadak bagi kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak dan kadar vaksinasi mereka rendah.

Hanya 20.3 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dan 55.4 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun lengkap suntikan vaksin sepenuhnya pada Selasa, menurut data CDC.

Pengarah CDC Rochelle Walensky, berkata cara terbaik memastikan kanak-kanak dilindungi adalah dengan pemberian vaksin. - BERNAMA

Berita Harian X