Sabtu, 22 Januari 2022 | 6:50am
 Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Vaksin tunjuk keberkesanan tinggi terhadap Omicron - CDC AS

WASHINGTON: Vaksin COVID-19 dan dos penggalak terus menunjukkan keberkesanan yang sangat tinggi terhadap jangkitan Omicron, menurut satu kajian dunia nyata daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Kajian itu menilai data daripada lebih 300,000 kes yang diterima di jabatan kecemasan, klinik penjagaan dan kemasukan ke hospital di 10 negeri bermula 26 Ogos tahun lalu hingga 5 Januari lalu.

Dalam tempoh ketika varian Delta menjadi dominan, keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital akibat COVID-19 adalah 90 peratus antara 14 hingga 179 hari selepas dua dos vaksin, turun kepada 81 peratus lebih daripada 180 hari selepas dos kedua, dan meningkat kepada 94 peratus pada 14 hari atau lebih selepas dos ketiga.

Selepas Omicron menjadi dominan, anggaran keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital antara 14 hingga 179 hari selepas dos kedua ialah 81 peratus, 57 peratus selepas lebih 180 hari daripada dos kedua, dan 90 peratus 14 atau lebih hari selepas dos ketiga.

Hasil kajian kedua CDC berdasarkan data dari 25 negeri dan bidang kuasa tempatan AS pula mendapati keberkesanan vaksin terhadap jangkitan berkurangan daripada 93 peratus sebelum Delta kepada sekitar 80 peratus apabila Delta menjadi dominan, tetapi perlindungan terhadap kematian kekal stabil dan tinggi pada 94 peratus.

Keberkesanan vaksin terhadap jangkitan turun kepada 68 peratus ketika Omicron muncul. Pengkaji tidak dapat memperoleh anggaran untuk keberkesanan vaksin terhadap kematian ketika Omicron, kerana ketinggalan dalam pelaporan, tetapi jangkaan saintifik yang luas ialah ia akan kekal sangat tinggi.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa walaupun kematian dalam kalangan orang yang diberi vaksin sepenuhnya meningkat secara mendadak ketika gelombang Delta (berjumlah lebih 20,000 orang antara Julai hingga November), individu tidak divaksinasi masih 16 kali lebih berkemungkinan untuk mati dalam tempoh sama.

Kadar perlindungan lebih tinggi kepada individu yang memperoleh dos penggalak. Antara Oktober hingga November, individu tidak divaksinasi adalah kira-kira 50 kali lebih berkemungkinan untuk mati akibat COVID-19 berbanding orang yang divaksinasi dan memperoleh dos penggalak. - AFP

Berita Harian X