Selasa, 18 Januari 2022 | 10:33am
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP

Vaksinasi seluruh dunia untuk tamatkan pandemik - PBB

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan, individu di seluruh dunia perlu diberikan vaksin COVID-19 bagi memastikan ada jalan keluar daripada pandemik.

Katanya, komuniti antarabangsa juga perlu berdepan dengan pandemik serta bersikap adil dan saksama.

"Tempoh dua tahun lalu menunjukkan hakikat sebenar, iaitu jika kita tinggalkan mana-mana pihak di belakang ia bermakna kita meninggalkan semua orang.

"Jika kita gagal memberi vaksin kepada semua orang, kita membenarkan kewujudan varian baharu yang tersebar di seluruh sempadan negara dan menggugat kehidupan harian dan ekonomi," katanya dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos secara maya, semalam.

Forum yang kebiasaannya dilaksanakan secara fizikal dan menghimpunkan pemain politik dan kuasa korporat di Pergunungan Swiss itu, dibuat secara maya untuk tahun kedua berturut-turut akibat pandemik.

Guterres berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan strategi tahun lalu untuk memvaksin 40 peratus populasi dunia menjelang akhir 2021 dan 70 peratus menjelang pertengahan tahun ini.

"Kita langsung tidak menghampiri sasaran ini. Kadar vaksinasi di negara berpendapatan tinggi adalah tujuh kali lebih tinggi, berbanding di negara Afrika.

"Ini memalukan. Kita perlukan kesaksamaan vaksin ketika ini," katanya.

Guterres menggesa syarikat farmaseutikal bersolidariti dengan negara sedang membangun menerusi perkongsian lesen, pengetahuan dan teknologi bagi memastikan semua pihak boleh keluar daripada pandemik COVID-19. - AFP

Berita Harian X