Isnin, 17 Januari 2022 | 11:25am
 Foto hiasan - AGENSI
Foto hiasan - AGENSI

Jenama besar gesa pakatan tangani pencemaran plastik

NEW YORK: Jenama antarabangsa termasuk Coca Cola dan PepsiCo menggesa satu pakatan global diwujudkan bagi memerangi pencemaran plastik merangkumi pengurangan pengeluaran bahan itu.

Penggiat industri akan bertemu pada persidangan Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA 5.2) akhir tahun ini bagi memulakan rundingan mengenai perjanjian menangani krisis sisa plastik yang membebankan tapak pelupusan sampah, merosakkan lautan dan membunuh hidupan liar.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada sebarang perjanjian akan memberi tumpuan kepada pengurusan sisa dan kitar semula atau mengambil langkah lebih tegas seperti mengekang pengeluaran yang mungkin akan menghadapi tentangan daripada firma minyak serta kimia dan negara pengeluar plastik utama seperti Amerika Syarikat (AS).

Lebih 70 pihak menandatangani kenyataan bersama pada Isnin, termasuk syarikat barangan pengguna seperti Unilever dan Nestle, yang menjual pelbagai produk dalam plastik sekali pakai daripada syampu hingga coklat bar serta peruncit Walmart dan bank Perancis BNP Paribas.

"Kita berada pada saat kritikal untuk mewujudkan perjanjian PBB yang bercita-cita tinggi," menurut kenyataan itu yang turut menjelaskan sebarang perjanjian sepatutnya mengurangkan pengeluaran dan penggunaan plastik baharu.

"UNEA 5.2 adalah saat penentuan, permulaan baik untuk krisis pencemaran plastik global. Kita tidak boleh ketinggalan," katanya.

Kurang 10 peratus daripada plastik yang dihasilkan dikitar semula.

Sementara itu, pengeluaran plastik berasal daripada minyak dan gas, diunjurkan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun.

Ini adalah sumber utama hasil masa depan untuk sektor tenaga kerana permintaan bagi bahan api fosil berkurangan dengan peningkatan tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik.

Kajian Pew Charitable Trusts pada 2020 menemui, walaupun mempertingkatkan kitar semula global adalah penting untuk menangani sisa plastik, usaha itu tidak akan menghalang pencemaran daripada terus melonjak tanpa kekangan dalam pengeluaran.

Reuters tahun lalu melaporkan ketika tekanan meningkat ke atas firma menjual produk plastik sukar dikitar semula untuk menangani sisa yang terhasil, ada pihak bekerjasama dengan pembuat simen untuk membakar sisa plastik sebagai bahan api murah di negara membangun. - REUTERS

Berita Harian X