Isnin, 17 Januari 2022 | 8:26am
Kereta api Amtrak bergerak di landasan Stesen Union di Washington, DC, ketika ribut musim sejuk semalam. - Foto AFP
Kereta api Amtrak bergerak di landasan Stesen Union di Washington, DC, ketika ribut musim sejuk semalam. - Foto AFP

Jutaan penduduk berlindung ribut landa timur AS

WASHINGTON: Jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) berlindung ketika ribut dengan salji dan ais tebal melanda timur republik itu yang menyaksikan bekalan elektrik kepada lebih 235,000 orang terputus.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, ribut itu membawa kombinasi salji lebat, hujan batu dan angin kencang menjejaskan tenggara dan pantai Mid-Atlantik sebelum bergerak ke New England dan selatan Kanada.

Trafik terganggu dengan serius, selain ribuan penerbangan dibatalkan dan sebahagian lebuh raya antara negeri I-95 yang sibuk ditutup di North Carolina.

Pengguna jalan raya diberi amaran mengenai keadaan jalan berbahaya dan kesesakan dari selatan Arkansas hingga ke timur laut Maine.

Ribut mengakibatkan puting beliung di Florida dan banjir di bahagian pantai, manakala keadaan berais dan angin kencang menimbulkan kebimbangan di Carolinas dan bahagian ke atas melalui Appalachian.

Keseluruhannya, lebih 80 juta orang terjejas akibat amaran cuaca musim sejuk, lapor media AS.

Berdasarkan laman sesawang FlightAware, kira-kira 2,900 penerbangan domestik serta keluar masuk AS dibatalkan, manakala 2,400 penerbangan lagi ditangguhkan pada Ahad.

Menurut laman web PowerOutage.US, kira-kira 235,000 pelanggan terputus bekalan elektrik di tenggara, termasuk lebih 150,000 di Carolinas.

Gabenor Georgia Brian Kemp mengisytiharkan darurat Jumaat lalu, dan pembajak salji sedang membersihkan jalan raya.

Virginia dan North Carolina juga sudah mengisytiharkan darurat. - AFP

Berita Harian X