Ahad, 16 Januari 2022 | 1:02pm
Penyokong Donald Trump berkumpul di Arizona untuk mendengar himpunan ceramah mendakwa pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 2020 dicemar dengan penipuan. - Foto AGENSI
Penyokong Donald Trump berkumpul di Arizona untuk mendengar himpunan ceramah mendakwa pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 2020 dicemar dengan penipuan. - Foto AGENSI

Penyokong setia Trump berhimpun di Arizona

FLORENCE: Ribuan penyokong Donald Trump berkumpul di Arizona semalam untuk mendengar himpunan ceramah mendakwa pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 2020 dicemar dengan penipuan.

Bekas presiden AS itu turut menyampaikan ucapan pada perhimpunan berkenaan.

Beberapa orang penyokong setia tiba di kawasan itu beberapa hari lebih awal dan datang dari jauh, termasuk dari Florida atau Texas, dengan individu pertama menyertai himpunan itu hadir seawal Jumaat, jam 10 malam.

Bendera dengan tulisan 'Trump 2020' dan 'Trump 2024' dikibarkan bersama dengan laungan 'Jom, Brandon' oleh penyokong pemimpin itu.

Salah seorang peserta yang hadir pada perhimpunan itu, Jennifer Winterbauer, berkata beliau hadir untuk mendengar 'kebenaran' dari Trump.

"Beliau sentiasa menyatakan kebenaran mengenai segala-galanya. Ekonomi, keadaan dunia, Amerika Syarikat," katanya.

Perhimpunan itu adalah acara pertama Trump bertemu orang ramai sejak Oktober.

"Banyak topik akan dibincangkan termasuk Pilihan Raya Presiden 2020 yang dicemari dengan penipuan, pembohongan besar, bencana Afghanistan, inflasi, kekurangan rasa hormat secara tiba-tiba terhadap negara dan pemimpinnya dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Perhimpunan itu diadakan 24 jam selepas saluran televisyen pro-Trump, OAN ditamatkan oleh pengedar utamanya.

Acara itu turut diadakan selepas pengasas Oath Keepers yang berhaluan kanan, iaitu kumpulan pro-Trump dan 10 yang lain didakwa atas konspirasi menghasut berhubung peranan mereka dalam serangan 6 Januari di bangunan Capitol AS.

Perhimpunan di tanah ladang, terletak 100 kilometer dari Phoenix, dijangka menampilkan pemimpin Republikan yang terus mengulangi dakwaan tidak berasas bahawa pilihan raya 2020 telah diubah. - AFP

Berita Harian X