Ahad, 16 Januari 2022 | 9:59am
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berulang kali berjanji untuk membalas dendam atas kematian komander tertingginya, Jeneral Qassem Soleimani. - Foto AFP
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berulang kali berjanji untuk membalas dendam atas kematian komander tertingginya, Jeneral Qassem Soleimani. - Foto AFP

Twitter haramkan akaun dikaitkan dengan pemimpin Iran

WASHINGTON: Twitter semalam berkata, ia telah menggantung secara kekal akaun yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi Iran yang menyiarkan video menyeru untuk membalas dendam terhadap bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas pembunuhan seorang jeneral tertinggi .

"Akaun yang dirujuk telah digantung secara kekal kerana melanggar dasar larangan kami," kata jurucakap Twitter kepada AFP.

Akaun itu, @KhameneiSite, minggu ini menyiarkan video animasi yang menunjukkan pesawat tanpa pemandu menyasarkan Trump, yang mengarahkan serangan dron di Baghdad dua tahun lalu, yang membunuh komander tertinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani.

Akaun utama pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dalam pelbagai bahasa kekal aktif.

Tahun lalu, satu lagi akaun serupa telah digantung oleh Twitter kerana satu catatan yang juga merujuk kepada dendam terhadap Trump.

Video baru-baru ini, bertajuk 'Revenge is Definite', turut disiarkan di laman web rasmi Khamenei.

Menurut Twitter, keutamaan utama syarikat adalah memastikan orang ramai selamat dan melindungi kesihatan perbualan di platform.

Gergasi media sosial itu berkata, ia mempunyai dasar yang jelas mengenai tingkah laku kesat dan akan mengambil tindakan apabila pelanggaran dikenal pasti.

Sebagai ketua Pasukan Quds, cabang operasi asing Pengawal Revolusi Iran, Soleimani adalah arkitek strateginya di Asia Barat.

Beliau dan leftenan Iraqnya terbunuh oleh serangan dron AS di luar lapangan terbang Baghdad pada 3 Januari 2020.

Khamenei telah berulang kali berjanji untuk membalas dendam atas kematiannya.

Pada 3 Januari, ulang tahun kedua serangan itu, pemimpin tertinggi dan Presiden ultrakonservatif, Ebrahim Raisi, sekali lagi mengancam AS untuk membalas dendam.

Penyokong Trump kerap mengecam pengharaman jutawan Republikan itu daripada Twitter, menggariskan bahawa akaun beberapa pemimpin yang dianggap autoritarian oleh AS dibenarkan untuk menyiarkan di platform. - AFP

Berita Harian X