Ahad, 16 Januari 2022 | 9:40am
Anggota pasukan SWAT ditempatkan berhampiran Jemaah Beth Israel di Colleyville, Texas di mana seorang lelaki menahan seorang paderi Yahudi dan beberapa individu lain sebagai tawanan. - Foto AGENSI
Anggota pasukan SWAT ditempatkan berhampiran Jemaah Beth Israel di Colleyville, Texas di mana seorang lelaki menahan seorang paderi Yahudi dan beberapa individu lain sebagai tawanan. - Foto AGENSI

Semua tebusan rumah ibadat Texas dibebaskan

COLLYVILLE: Semua tebusan yang ditahan di sebuah rumah ibadat di Texas, di mana seorang lelaki menuntut pembebasan seorang pengganas dibebaskan tanpa cedera selepas kebuntuan selama berjam-jam, kata gabenor negeri itu.

Kira-kira 10 jam selepas krisis itu, Greg Abbott dalam ciapan di twitter berkata 'semua tebusan keluar dalam keadaan hidup dan selamat' pada jam 9:30 malam (waktu tempatan).

Terdapat laporan daripada wartawan di tempat kejadian berlaku letupan kuat dan tembakan di rumah ibadat terbabit sejurus sebelum Abbott membuat pengumuman itu.

Seorang tebusan telah dibebaskan tanpa cedera beberapa jam sebelum itu. Masih tidak jelas berapa ramai yang telah dijadikan tebusan.

"Sejurus selepas 5:00 petang (waktu tempatan), seorang tebusan lelaki dibebaskan tanpa cedera.

"Lelaki ini akan disatukan semula dengan keluarganya secepat mungkin dan dia tidak memerlukan rawatan perubatan," kata jabatan polis Colleyville dalam satu kenyataan.

Perunding tebusan sebelum itu berdepan situasi tegang sejak semalam susulan seorang lelaki mendakwa adik kepada seorang pengganas yang disabitkan bersalah dan menuntut pembebasannya.

Beliau menahan seorang paderi Yahudi dan beberapa individu lain sebagai tawanan, kata polis dan media.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah diberi taklimat 'mengenai situasi tebusan' yang berlaku di Colleyville, kira-kira 40 kilometer (km) dari barat Dallas, kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki di Twitter.

ABC News, memetik sumber yang tidak dinyatakan, berkata suspek telah menawan seorang paderi dan tiga lagi tebusan di Jemaah Beth Israel di Colleyville, iaitu kira-kira 40 km dari barat Dallas.

Rangkaian itu melaporkan bahawa lelaki itu bersenjata, dan mendakwa mempunyai bom di lokasi yang tidak diketahui.

Memetik kenyataan seorang pegawai AS yang memberi taklimat mengenai perkara itu, ABC melaporkan, lelaki itu mendakwa adik kepada Aafia Siddiqui yang digelar 'Wanita Qaeda' oleh tabloid AS.

Beliau menuntut supaya kakaknya dibebaskan dari penjara.

Siddiqui yang pernah berkhidmat sebagai saintis di Pakistan pada 2010 dijatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun atas kesalahan cubaan membunuh pegawai AS di Afghanistan.

Ketika ini, beliau ditempatkan di penjara Federal Medical Centre (FMC) di Fort Worth, Texas.

Dalam paparan video secara langsung yang disiarkan di Facebook merekodkan suara suspek yang bercakap dengan suara lantang, bagaimanapun suasana dalam bangunan berkenaan tidak ditunjukkan.

Suspek berkenaan berkata, "dapatkan kakak saya untuk bercakap melalui telefon dan saya akan mati," kata Jabatan polis Colleyville dalam ciapan di Twitter pada 11:30 pagi (waktu tempatan) sambil memaklumkan 'operasi SWAT dijalankan' di bangunan berkenaan. - AFP

Berita Harian X