Ahad, 16 Januari 2022 | 8:37am
Seseorang memegang gambar mendiang Presiden Haiti, Jovenel Moise, yang ditembak mati awal bulan ini, semasa pengebumiannya di rumah keluarganya di Cap-Haitien, Haiti, pada 23 Julai 2021. - Foto REUTERS
Seseorang memegang gambar mendiang Presiden Haiti, Jovenel Moise, yang ditembak mati awal bulan ini, semasa pengebumiannya di rumah keluarganya di Cap-Haitien, Haiti, pada 23 Julai 2021. - Foto REUTERS

Bekas senator Haiti ditahan berhubung pembunuhan presiden

MIAMI: Seorang bekas penggubal undang-undang Haiti yang adalah suspek dalam pembunuhan presiden negara itu ditangkap di Jamaica, kata pihak berkuasa Jamaica semalam.

Bekas senator, Jean Joel Joseph, dikehendaki dalam pembunuhan presiden Jovenel Moise pada 7 Julai 2021, telah ditangkap pada petang Jumaat, kata Pasukan Constabulary Jamaica (JCF) dalam satu kenyataan.

JCF 'boleh mengesahkan bahawa seorang warga Haiti; Jean Joel Joseph dan tiga lagi ahli (dari) keluarganya telah ditangkap di Jamaica atas tuduhan berkaitan imigresen," kata kenyataan itu.

Penyiasat Jamaica menghubungi pihak berkuasa Haiti yang menyatakan Joseph 'dikehendaki di Haiti sebagai suspek dalam dakwaan pembunuhan Presiden Haiti pada 2021'," tambahnya.

Joseph ditangkap di sebuah rumah di St Elizabeth, di barat daya pulau itu.

Sumber polis Jamaica memberitahu AFP bahawa Joseph 'sedang ditahan ketika ini'.

Sumber itu berkata, polis Jamaica bertindak bersama 'rakan kongsi penguatkuasa undang-undang antarabangsa' dan bahawa 'penyiasatan bersama' telah dijalankan.

Moise, yang tidak popular di Haiti, terbunuh dan isterinya cedera parah apabila kira-kira 20 lelaki menceroboh masuk ke dalam kediaman presiden dan menembak mereka pada Julai.

Berpuluh-puluh suspek telah ditangkap sebelum ini kerana pembunuhan Moise, tetapi banyak perkara mengenai pembunuhan itu masih kabur, terutama siapa yang mengarahkannya.

Waran tangkap dikeluarkan untuk Joseph sejurus selepas pembunuhan itu, dengan pihak berkuasa menyifatkan dia sebagai 'bersenjata dan berbahaya'.

Joseph adalah seorang senator pembangkang dan pengkritik keras presiden.

Lebih 40 orang, termasuk lebih daripada 10 warga Colombia dan beberapa warga Amerika yang berasal dari Haiti, telah ditangkap berkaitan dengan pembunuhan itu. - AFP

Berita Harian X