Sabtu, 15 Januari 2022 | 8:24pm
Imej satelit menunjukkan letupan kedua gunung berapi di dasar laut, Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Tonga dalam tempoh dua hari. - Foto EPA
Imej satelit menunjukkan letupan kedua gunung berapi di dasar laut, Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Tonga dalam tempoh dua hari. - Foto EPA

Penduduk Tonga lari susulan tsunami akibat letusan gunung berapi

NUKU'ALOFA: Penduduk Tonga yang ketakutan melarikan diri ke tempat lebih tinggi selepas letusan gunung berapi kuat yang turut kedengaran di negara jirannya, mencetuskan tsunami kedua di kawasan itu.

Gelombang tsunami setinggi 1.2 meter sudah diperhatikan di Nuku'alofa, menurut ciapan Biro Meteorologi Australia di Twitter.

Gelombang tsunami maksimum yang direkodkan selepas letusan pertama semalam ialah 30 sentimeter (cm).

Letusan terbaru gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai berlaku hanya beberapa jam selepas amaran tsunami ditarik balik semalam.

Penduduk, Mere Taufa berkata ketika bencana itu, beliau berada di rumahnya sedang bersiap untuk makan malam.

"Ia sangat kuat, tanah dan rumah kami bergegar. Ia datang dalam gelombang. Adik saya fikir ada bom meletup berhampiran kawasan ini.

"Air mula memenuhi rumah beberapa minit kemudian selain dinding rumah jiran saya juga runtuh. Kami hanya tahu tsunami melanda selepas air mencurah masuk ke dalam rumah.

"Anda hanya boleh mendengar jeritan dari semua arah, orang menjerit meminta pertolongan, meminta semua orang pergi ke tempat lebih tinggi," katanya.

Raja Tonga, Tupou VI, dilapor sudah dipindahkan dari Istana Diraja di Nuku'alofa oleh konvoi polis yang membawanya ke sebuah vila yang jauh dari kawasan pantai.

Letusan terbaru berlangsung kira-kira lapan minit, mengeluarkan kepulan gas, abu dan asap sehingga beberapa kilometer (km) ke udara, ketika penduduk di kawasan pantai digesa berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Letusan kuat umpama guruh itu kedengaran sehingga ke Fiji, iaitu lebih 800 km jauhnya, menurut pihak berkuasa di Suva.

Jurucakap dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tonga, Victorina Kioa, semalam mengingatkan orang ramai menjauhkan diri dari kawasan amaran termasuk kawasan rendah, terumbu dan pantai.

Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, Taaniela Kula pula menggesa orang ramai untuk berlindung di dalam rumah, memakai topeng jika berada di luar dan menutup sistem takungan air hujan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan nasihat tsunami untuk Samoa Amerika, berikutan ancaman turun naik paras dan arus laut yang kuat, sekali gus meletak keadaan bahaya di sepanjang pantai. - AFP

Berita Harian X