Sabtu, 15 Januari 2022 | 4:30pm
Kepulan asap kelihatan akibat letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai sebelum ini pada 21 Disember lalu. - Foto AFP
Kepulan asap kelihatan akibat letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai sebelum ini pada 21 Disember lalu. - Foto AFP

Tsunami membadai Tonga selepas letusan kuat gunung berapi

NUKU'ALOFA: Ombak besar melanda Tonga hari ini, selepas letusan kuat gunung berapi yang turut dirasai negara jirannya, mencetuskan tsunami kedua di kawasan berkenaan dalam tempoh beberapa hari lalu.

"Gelombang tsunami setinggi 1.2 meter diperhatikan di Nukualofa," ciap Biro Meteorologi Australia di Twitternya.

Gelombang tsunami tertinggi yang direkodkan berikutan letusan itu semalam ialah 30 sentimeter (cm).

Letusan terbaru gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai berlaku hanya beberapa jam selepas amaran tsunami ditarik balik semalam.

Ia berlangsung kira-kira lapan minit, mengeluarkan kepulan gas, abu dan asap beberapa kilometer ke udara, dengan penduduk di kawasan pantai digesa berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Letusan kuat umpama guruh itu kedengaran sehingga ke Fiji, iaitu lebih 800 kilometer (km) jauhnya, menurut pihak berkuasa di Suva.

Jurucakap dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tonga, Victorina Kioa, semalam mengingatkan orang ramai menjauhkan diri daripada kawasan amaran termasuk kawasan rendah, terumbu dan pantai.

Ketua Perkhidmatan Geologi Tonga, Taaniela Kula, pula menggesa orang ramai untuk berlindung di dalam rumah, memakai topeng jika berada di luar dan menutup sistem takungan air hujan.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami untuk Samoa Amerika, berikutan ancaman turun naik paras dan arus laut yang kuat, sekali gus meningkatkan risiko bahaya di sepanjang pantai.

Gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai terletak di sebuah pulau tidak berpenghuni, kira-kira 65 km di utara ibu negara Tonga, Nuku'alofa. - AFP

Berita Harian X